KUCHING: Swinburne Sarawak telah melancarkan program baru Bacelor Sains (Sains Persekitaran) iaitu program tiga tahun yang fokus kepada eksplorasi prinsip-prinsip saintifik untuk menangani isu ekologi.
Dengan penekanan ke arah pembangunan lestari, program ini fokus kepada kemahiran saintifik untuk lebih memahami dan menjaga ekosistem untuk generasi akan datang. Secara khususnya, ia menjurus kepada subjek-subjek seperti biologi persekitaran, mikrobiologi, sains air, sains data, matematik dan kimia.
Program ini juga memberi penekanan kepada kemahiran penyelidikan dan komunikasi yang dilihat sebagai elemen penting dalam usaha pemeliharaan alam sekitar. Graduan program ini akan memperoleh kemahiran untuk menganalisis ekosistem yang serba luas serta melaksanakan pelan perlindungan dan transformasi ekosistem di masa hadapan.
Menurut Ketua Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Sains Swinburne Sarawak Profesor Madya Dr Hwang Siaw San, sains persekitaran secara umumnya melibatkan integrasi sains kimia, fizik dan biologi untuk lebih memahami hubungan antara aktiviti manusia dan perubahan alam sekitar.
“Adalah penting bagi pelajar untuk mempunyai pemahaman kukuh tentang prinsip-prinsip saintifik, memperoleh kemahiran dan perspektif antara disiplin yang luas untuk berupaya menghadapi cabaran-cabaran berkaitan alam sekitar. Secara keseluruhannya, mereka juga harus menyumbang kepada pembangunan lestari dan kesejahteraan masyarakat,” kata Profesor Madya Dr Hwang.
Sementara itu, Ketua Disiplin Program Bioteknologi dan Sains Persekitaran Dr Irine Runnie Henry Ginjom berkata pencemaran, pemanasan global, penipisan lapisan ozon, hujan asid, penebangan hutan, dan aktiviti yang menyebabkan tanah bertukar menjadi gurun adalah antara isu-isu alam sekitar yang mengancam kehidupan manusia.
“Untuk menangani isu sebegini, saintis alam sekitar perlu mempunyai ilmu ekosistem yang menyeluruh dan pemahaman yang mendalam mengenai dinamik isu-isu tersebut.”
“Selari dengan perkembangan pesat industri hijau dan alam sekitar, peluang pekerjaan dalam sektor persekitaran juga turut meningkat. Pelajar yang mempunyai minat yang mendalam dalam bidang alam sekitar boleh memohon untuk menyertai kursus sains persekitaran Swinburne yang akan membantu melancarkan karier mereka dalam industri hijau,” komen Dr Irine.
Graduan program sains persekitaran berpotensi untuk bekerja di agensi peringkat persekutuan, negeri atau kerajaan tempatan; syarikat kejuruteraan atau persekitaran swasta; firma pengurusan dan perunding alam sekitar; institusi penyelidikan; atau institusi pengajian tinggi.
Mereka boleh menyandang jawatan seperti saintis atau pegawai alam sekitar, pemuliharaan atau penyelidikan; saintis kualiti air; pegawai pemuliharaan alam semulajadi; penyelaras program; pengurus kualiti lestari; penganalisis data alam sekitar; atau perunding produk.
Selain daripada program baru ini, Swinburne juga menawarkan program Bacelor Sains (Bioteknologi).
Program ini memberi penekanan kepada aplikasi praktikal di mana pelajar dilatih dalam kemahiran teknikal dan insaniah yang diperlukan dalam pelbagai industri.
Graduan bioteknologi berpeluang bekerja sebagai saintis atau pegawai penyelidikan; ahli bioteknologi; pegawai sains atau saintifik; penganalisis kawalan kualiti; perunding produk; atau dalam bidang pemasaran berkaitan bioteknologi.
Pelajar boleh memohon program Pengajian Asasi (Sains) dan setelah selesai, terus memohon program Bacelor Sains dalam bidang Sains Persekitaran atau Bioteknologi.
Pengajian Asasi menyediakan pelajar dari segi akademik, komunikasi dan kemahiran teknikal dalam unit teras seperti inovasi dan perubahan, teknologi maklumat, sains fizikal, matematik, kimia, fizik, matematik kejuruteraan dan pengaturcaraan.
Bagi meringankan beban kewangan pelajar, mereka boleh memohon biasiswa dan bursari seperti Pro Chancellor’s Academic Excellence Scholarship, Deputy Vice-Chancellor’s Academic Excellence Award, UEC Academic Grant, Yayasan Sarawak Bumiputera BP40 Bursary Scheme dan lain-lain. Untuk maklumat lanjut, layari www.swinburne.edu.my/study/study-options/scholarships.php.
Untuk maklumat lanjut berkaitan program sains, emel kepada Ketua Disiplin Program Dr Irine Runnie Henry Ginjom di ihenry@swinburne.edu.my atau tempah janji temu untuk datang ke kampus melalui www.picktime.com/swinburnesarawak.
Untuk maklumat lanjut mengenai Swinburne Sarawak, layari www.swinburne.edu.my, laman Facebook (@swinburnesarawak), Instagram (@swinburnesarawak), Twitter (@Swinburne_Swk) atau YouTube (Swinburne Sarawak).
Oleh Nur Ain Otsman