
PELAKON Sweet Qismina mengakui berdepan dengan tekanan ketika membawa peranannya sebagai Izara menerusi drama Dendam Seorang Madu yang bersiaran Isnin hingga Jumaat di Astro Prima (saluran 105) sejak 3 Mac lepas.
Membawakan watak antagonis dengan latar belakang gangguan mental, Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi, turut melahirkan rasa bimbang jika lakonannya itu tidak berjaya mencapai standard yang diharapkan.
“Saya sangat risau dan takut tidak dapat membawakan watak ini dengan baik. Pada saya, jika salah portray, karakter ini akan kelihatan hanya mengada-ada dan berlebihan tanpa sebab, dan saya tidak mahu perkara itu berlaku.
“Alhamdulillah, selepas banyak kajian dan usaha memahami Izara, saya dapati dia mengalami borderline personality disorder (BPD) dan post-traumatic stress disorder (PTSD),” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, bintang filem Babah itu mengakui watak berkenaan telah membuka matanya terhadap isu kesihatan mental.
“Jika saya tidak membawakan watak Izara, saya mungkin tidak tahu tentang kewujudan BPD. Kalau kita berjumpa dengan individu yang mengalami masalah kesihatan mental, kita perlu faham dan kenal pasti jenis depresi yang mereka hadapi sebelum menghakimi.
“Kita juga perlu memiliki tahap kesabaran tinggi untuk memahami mereka. Jika tidak mampu untuk menghadapi pasangan yang mempunyai penyakit mental, hanya ada dua pilihan – jangan beri harapan atau bersabar serta membantu dengan ikhlas,” katanya.

Pada masa sama, Sweet turut menasihati individu yang berdepan dengan masalah kesihatan mental agar tidak berdiam diri.
“Jika anda rasa atau sudah didiagnosis dengan isu mental, jangan pendam sendiri. Luahkan dan berkongsilah dengan orang lain. Percayalah, anda akan menemui seseorang yang benar-benar memahami anda.
“Kepada penjaga yang menghadapi pesakit sebegini, anda sebenarnya telah menyelamatkan nyawa tanpa sedar. Terima kasih, kerana tidak semua orang mampu melakukannya,” katanya.
Drama terbitan MIG Production Sdn Bhd itu turut menampilkan Hannah Delisha (Puteri Rayhana), Redza Rosli (Faris Alfian) dan Emelda Rosemila (Hanum).
Drama arahan Riza Baharudin ini mengisahkan seorang gadis miskin, Rayhana, yang dipaksa berkahwin dengan Faris Alfian. Namun, perkahwinan mereka tergugat apabila Rayhana mengetahui suaminya sudah berkahwin secara rahsia dengan setiausahanya, Izara. – Bernama