KAPIT: Kerajaan Sarawak akan menjadikan sumber air dari Empangan Hidro Elektrik (HEP) yang ada untuk membangunkan beberapa produk yang berpotensi untuk menyumbang kepada pendapatan negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, HEP bukan sahaja menghasilkan tenaga kuasa elektrik sahaja, malah kuasa hidrogen yang boleh dipasarkan.
Menurutnya, terdapat sebuah syarikat dari luar negara yang ingin melabur dalam menghasilkan kuasa hidrogen, dengan negara terbabit juga bersedia menjadi pembeli kuasa hidrogen tersebut.
“Air daripada empangan kita amat sesuai diekstrak untuk dijadikan hidrogen, begitu juga dengan HEP Baleh. Kini bukan sahaja kenderaan sudah ada menggunakan hidrogen, malah terdapat kapal terbang menggunakannya.
“Kuasa hidrogen ini akan menjadi yang mana kini kita sedang uji penggunaan hidrogen pada kereta dan bas. Kita sudah ada kuasa untuk menjalankan cukai jualan, fikirkanlah. Kita cuba kenakan cukai jualan SST 5 peratus negeri kita akan bertambah pendapatan,” jelasnya.
Ketua Menteri berkata demikian semasa berucap dalam lawatan kerja ke Jambatan Sungai Mujong, di sini semalam.
Sementara itu, Abang Johari juga memberitahu, Kerajaan Sarawak akan menaik taraf Mahkamah Bumiputera agar bersamaan dengan Mahkamah Sivil.
“Kita mencari pakar perundangan dan evolusi undang-undang adat yang diguna pakai selama ini. Kalau ada masalah melibatkan orang bumiputera terutamanya masyarakat Dayak, kita ada Mahkamah Bumiputera dan kerajaan tidak boleh masuk campur,” ujarnya.
Ketua Menteri berharap Kerajaan Pusat memberikan kebenaran kepada Swinburne University untuk menubuhkan Fakulti Undang-Undang.
“Maka dalam itu masuklah Mahkamah Bumiputera undang-undang berkaitan kita di Sarawak. Status undang-undang kita akan dipertingkatkan maka dapatlah kita menyelesaikan yang ada hubung kait dengan kita,” ujarnya.
Abang Johari turut menyifatkan Jambatan Nanga Mujong adalah menjadi ikonik perpaduan di Bahagian Kapit.
“Kabel-kabel yang menghubungkan jambatan ini melambangkan rakyat saling menyokong antara satu sama lain untuk membangunkan Sarawak,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang juga Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta yang lain.
Oleh AKUN GIMAN/EARL ANEK