KUCHING: Pembinaan enam stesen pengisian bersepadu bukti Sarawak mempunyai tahap daya saing yang tinggi dalam industri tenaga dalam negara dan peringkat global.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain berkata pembinaan stesen yang pertama seumpamanya di negeri ini bakal menjadi satu lagi ciri menarik dalam industri peruncitan bahan bakar tempatan.
“Dua stesen pengisian bersepadu ini akan dibina di daerah Kuching sementara satu akan dibina masing-masing di daerah Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri.
“Setiap stesen akan menawarkan bahan bakar konvensional serta kemudahan pengecasan elektrik untuk kenderaan elektrik bateri (BEV) dan gas hidrogen untuk kenderaan elektrik sel bahan bakar hidrogen (FCEV),” katanya ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Stesen Pengisisn Bersepadu Darul Hana, di sini semalam.
Tambah beliau, perkara yang lebih membanggakan adalah stesen ini akan menggunakan nama jenama PETROS yang merupakan syarikat gas petroleum milik penuh negeri Sarawak.
“Kami optimis terhadap keberlangsungan langkah strategik untuk membuka stesen ini sebagai inisiatif untuk rakyat Sarawak mendapatkan perkhidmatan yang lebih baik dan standard keselamatan yang tinggi,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Abdul Aziz yang merangkap Pengerusi SEDC Energy Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh SEDC berkata pihaknya dengan sokongan penuh Kerajaan Negeri merancang untuk meningkatkan jumlah stesen pengisian bersepadu ini dalam waktu dekat kerana permintaan untuk gas hidrogen dilihat semakin meningkat.
Menurut beliau, banyak negara maju di seluruh dunia sedang merancang untuk membina lebih banyak stesen pengisian bahan bakar hidrogen dalam beberapa tahun ke depan sesuai dengan Agenda Ekonomi Hidrogen mereka.
“Bilangan stesen pengisian bahan bakar hidrogen telah meningkat empat kali ganda dalam lima tahun kebelakangan.
“Pada akhir 2019, sebanyak 432 stesen pengisian bahan bakar hidrogen telah beroperasi di seluruh dunia, dan 330 daripadanya dibuka khusus untuk pengisian bahan bakar kenderaan umum seperti di stesen konvensional,” tambahnya,
Jelas Abdul Aziz lagi, penggunaan hidrogen sebagai bahan bakar kenderaan secara drastik memberi kesan terhadap inisiatif sifar pelepasan karbon dan membantu dalam usaha melestarikan usaha alam sekitar.
“Sarawak akan menambah statistik ini dan akan menjadi negeri yang pertama mempunyai stesen pengisian minyak hidrogen komersial di negara ini, malah di rantau ini,” tegasnya lagi.
Terdahulu, simbolik majlis pecah tanah stesen pengisian bersepadu ini telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanti Linggi, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Khim Shin, Menteri Muda Utiliti Datuk Abdul Rahman Junaidi dan Ahli Lembaga Pengarah Petronas Dato Ibrahim Baki.
Oleh Akmal Adib Yusup