RANCANGAN LANCARKAN ELAB 01… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari ketika menghadiri Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) semalam berkata penggunaan tiang pintar itu nanti akan menjadi sebahagian daripada pembangunan projek bandar pintar. Ini juga merupakan usaha meningkatkan infrastruktur rangkaian mudah alih di Sarawak.
KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang untuk melancarkan ELAB 01 iaitu tiang pintar 5G pertama di Malaysia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penggunaan tiang pintar itu nanti akan menjadi sebahagian daripada pembangunan projek bandar pintar.
“Ini juga merupakan usaha meningkatkan infrastruktur rangkaian mudah alih di Sarawak,” katanya seperti dilaporkan UKAS.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) semalam.
Sementara itu, Abang Johari turut diberikan taklimat berhubung ELAB 01 yang bakal memudahkan pelancaran 5G di Sarawak oleh Ketua Pegawai Eksekutif Austral Techsmith, Azfar Zubri Safri.
Austral Techsmith Sdn.Bhd ialah syarikat perintis teknologi tiang pintar 5G di Malaysia yang bekerjasama dengan syarikat pembekal infrastruktur telekomunikasi untuk melaksanakan pemasangan tiang pintar ELAB 01 di seluruh negara.
Berdasarkan perkongsian itu, tiang pintar ini dilengkapi dengan inovasi penyatuan peralatan serta kelengkapan rangkaian telekomunikasi yang boleh dipasang dengan kapasiti hubungan pelbagai rangkaian 4G, 5G, penghala (router) wifi dan unit bekalan kuasa.
Zubri Safri meluangkan masa hampir 10 minit berkongsi cara ELAB 01 yang diinovasikan secara tempatan dan lebih daripada bersedia untuk menyertai pelancaran 5G di negeri ini.
“Premier berkongsi dengan saya bahawa pelancaran 5G Sarawak akan berlangsung tidak lama lagi dan Austral Techsmith rasa bangga mendirikan ELAB 01 di negeri ini, semuanya satu permulaan untuk saya serta pasukan.
“Walaupun kami tidak besar dan antara pemain baharu industri ini, tetapi semangat serta azam kami untuk mengejar dan bangkit pantas menerusi penyelidikan pembangunan boleh dilaksanakan demi kebaikan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa 5G akan menjadi sesuatu yang hebat untuk Sarawak.