BAU: Polis sedang menyiasat kejadian pecah masuk sebuah rumah kebun di Plaman Stonuom, Kampung Serasot 2, di sini, yang mengakibatkan beberapa keping zink aluminium dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, laporan polis dibuat pada 7 September selepas pengadu dimaklumkan oleh menantunya bahawa rumah kebun berkenaan dipercayai dipecah masuk individu tidak dikenali.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati beberapa keping zink aluminium pada bahagian belakang rumah kebun yang tidak berpenghuni itu telah hilang,” katanya.
Mohd Haide berkata, pengadu kali terakhir berada di rumah kebun berkenaan pada 30 Ogos lalu dan ketika itu dinding zink aluminium masih dalam keadaan baik.

“Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada kesan umpil pada pintu atau tingkap, namun terdapat kesan umpil pada bahagian dinding zink aluminium,” katanya.
Beliau berkata, polis turut menjalankan proses pengambilan cap jari, namun tiada kesan berjaya diperoleh berikutan permukaan kayu rumah kebun yang kasar.
Kerugian dianggarkan sekitar RM60.
“Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan siasatan masih diteruskan. Pasukan penyiasat telah diarahkan untuk mengesan serta mengenal pasti suspek yang terlibat,” katanya.
Polis turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.
Oleh Connie Chieng





