SIBU: Mahkamah Majistret hari ini, membenarkan suspek lelaki yang ditahan reman atas dakwaan terbabit sindiket penyelewengan diesel bersubsidi dan merasuah pegawai penguat kuasa, dibebaskan dengan ikat jamin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Majistret Oon Kork Chern membenarkan suspek berusia 42 tahun itu dibebaskan dengan ikat jamin setelah tahanan reman empat hari berakhir hari ini.
Pada Isnin lepas, suspek bersama adik perempuannya yang berusia 39 tahun ditahan reman bagi membantu siasatan kes penyelewengan diesel bersubsidi dan merasuah pegawai penguat kuasa.
Suspek wanita terbabit ditahan reman sehari sebelum dibebaskan Selasa lepas dengan ikat jamin SPRM.
Menurut sumber SPRM, pasangan adik-beradik itu ditahan bersama dua lelaki dan seorang wanita lain di depoh simpanan diesel di Sungai Bidut semasa operasi ‘Op Liter’ yang dijalankan SPRM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Hidup (KPDN).
Kesemua suspek dipercayai merupakan sebahagian sindiket menyeleweng minyak diesel bersubsidi untuk nelayan yang dijual dengan harga lebih tinggi kepada pembeli dari luar negara.
Sindiket yang dipercayai beroperasi sejak 2012 itu mengaut keuntungan hingga RM400 juta dan disyaki membayar rasuah kepada pegawai penguat kuasa bagi mengelak dikenakan tindakan kerana menyimpan diesel tanpa permit sah.
Semasa operasi pada 25 Ogos lepas, SPRM merampas wang tunai kira-kira RM3.7 juta, dua tongkang, dan 30 tangki simpanan minyak dipercayai mengandungi kira-kira 1.6 juta liter diesel.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
Selain itu, SPRM turut menahan pembantu penguat kuasa dan pengarah sebuah agensi penguat kuasa berhubung kes sama.
Pengarah terbabit telah dibebaskan dengan ikat jamin SPRM sebelum ini, sementara pembantu penguat kuasa terbabit turut dibebaskan dengan ikat jamin SPRM hari ini.
Di samping itu, SPRM turut membekukan semua akaun bank milik suspek terlibat dengan wang keseluruhan sebanyak RM36 juta.
Oleh AKUN GIMAN
Gambar
DIBEBASKAN….Suspek dibebaskan dengan ikat jamin SPRM, di Sibu hari ini.