BAU: Polis telah mengenal pasti suspek dalam kes pecah masuk sebuah rumah yang mengakibatkan kerugian dianggarkan RM5,000, manakala satu lagi kes khianat kabel di pencawang Sarawak Energy masih dalam siasatan.
Ketua Polis Daerah Bau Supt Mohd Haide A Rahman berkata, laporan berhubung kes pecah rumah itu diterima pada 10.43 malam semalam selepas pengadu mendapati rumah abangnya di Kampung Stass telah dipecah masuk.
Beliau berkata, pengadu mendapati pintu dapur rumah berkenaan diumpil dan tombol pintu dirosakkan.
Antara barangan yang dilaporkan hilang ialah sebuah beg jenama Coach, topi keledar jenama Arai dan ARC serta sebuah peti besi yang mengandungi jam tangan dan dua set anak kunci bengkel, dengan jumlah kerugian dianggarkan RM5,000.
“Siasatan mendapati ibu saudara mangsa ternampak sebuah Perodua Kancil berwarna hitam memasuki lorong menuju ke rumah mangsa kira-kira jam 3 petang sebelum beredar beberapa minit kemudian. Beliau sempat mencatat nombor pendaftaran kenderaan tersebut,” katanya.

Mohd Haide berkata, semakan mendapati nombor pendaftaran itu didaftarkan kepada sebuah Perodua Kancil berwarna perak milik seorang individu di Kota Samarahan. Polis turut berjaya mendapatkan satu cap jari di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
“Suspek telah dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam kes berasingan, Mohd Haide berkata, polis menerima laporan selepas penduduk Kampung Apar, Singai mengalami gangguan bekalan elektrik kira-kira 8.48 pagi hari ini.
Pemeriksaan oleh Sarawak Energy mendapati kabel pendawaian utama sepanjang kira-kira 20 meter di pencawang Apar 9 telah dipotong oleh individu tidak dikenali, menyebabkan kerugian dianggarkan RM5,000.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai memasuki kawasan pencawang melalui lubang pada pagar.
Kabel yang dipotong ditinggalkan di lokasi kejadian, manakala pencawang itu tidak dilengkapi kamera CCTV atau pengawal keselamatan.
“Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan,” katanya.





