Walaupun Umur sudah mencecah 51 tahun tetapi ia bukanlah penghalang untuk terus terus berkebun.
Susie Anchai yang juga merupakan ibu tunggal dari Simunjan berkata, bekerja di bawah terik matahari dan hujan adalah perkara yang biasa baginya malah ia sudah mengerjakannya hampir 30 tahun.
Katanya, selepas kematian suaminya tiga tahun lalu akibat kanser paru-paru, beliau terpaksa mengerjakan tanah kebun seorang diri.
“Saya tiada pilihan lain, selain mengejakan tanah kebun itu sendiri kerana ia adalah sumber pendapatan utama saya.
“Dulu, kalau suami ada bersama saya maka pekerjaan yang saya lakukan itu menjadi ringan dan mudah”, katanya semasa ditemu bual oleh pemberita melalui telefon.
Antara yang diusahakannya adalah tanaman jagung, cili, ladang sawit dan lada.
Tambahnya, beliau ingin memperluaskan lagi tanaman sawit disebabkan harga lada yang semakin hari semakin menurun.
“Buat masa ini saya hanya fokus kepada tanaman lada kerana pembelian anak benih sawit masih lagi dalam proses.
“Walaupun harga sawit tidak menentu, ada kalanya naik, ada kalanya turun tapi ia lebih berbaloi buat masa sekarang.
“Untuk jagung dan cili saya akan menjualnya ke pasar dan sekitar kampung, tapi ada kalanya diborong oleh orang.
Dalam pada itu, anak-anaknya turut membantu dalam mengerjakan tanah kebun tersebut jika ada kelapangan
Jelasnya lagi, anak-anaknya akan turut membantu pada hujung minggu sahaja.
Ditanya pemberita, adakah beliau akan terus berkebun untuk tempoh 10 tahun akan datang, beliau menjawab selagi nyawa dikandung badan beliau akan terus berkebun daripada membazirkan sisa tuanya hanya duduk di rumah.
Tambahan pula, berkebun adalah satu aktiviti yang sihat, jelasnya.
Oleh NICKELYSON LAKUN