MEMANDANGKAN Pesta Cahaya semakin hampir, pengusaha muruku dan biskut, J.Mishalin, 37, perlu bertungkus-lumus menyiapkan tempahan bagi jualan larisnya, muruku dan achu muruku atau kuih ros selain beberapa jenis biskut moden.
Mishalin yang mengusahakan muruku dan biskut dari rumah berkata permintaan dan jualan terhadap makanan berkenaan meningkat ketara sejak akhir bulan lepas berikutan sambutan Deepavali.
“Saya terima banyak tempahan untuk muruku, achu muruku dan beberapa jenis biskut seperti biskut kacang tanah dan Almond London. Disebabkan permintaan yang menggalakkan, saya terpaksa mengehadkan tempahan,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di sini baru-baru ini.
Menurut Mishalin, pelanggannya terdiri daripada berbilang kaum dan bukan sahaja dari Pulau Pinang malah Pahang, Kuala Lumpur dan Kedah.
Mishalin berkata beliau juga menerima tempahan untuk acara khusus dan perayaan seperti Krismas, Hari Raya dan Tahun Baharu Cina.
PELANGGAN ULANGI TEMPAHAN
“Pelanggan mengulangi tempahan (muruku dan biskut) kerana saya hanya menggunakan bahan-bahan berkualiti yang bukan sahaja memberi kepuasan kepada mereka (pelanggan) malah saya sendiri,” katanya.
Mishalin berkata pembuatan muruku dan biskutnya kini kembali rancak selepas pandemik Covid-19.
“Saya bersyukur pada masa ini perniagaan berjalan lancar yang membolehkan saya menjana pendapatan tahun ini. Saya harap biskut tradisional (seperti muruku dan kuih ros) dan biskut moden saya akan terus mendapat permintaan ramai pelanggan supaya dapat menebus kerugian yang dialami sejak dua tahun lepas akibat pandemik,” katanya.
Beliau berkata biskut tradisionalnya dijual pada harga antara RM25 dan RM100 manakala biskut moden berharga antara RM24 dan RM35 sebalang. – Bernama