

LAWAS: Golongan suri rumah perlu diberi pendedahan dalam asas ilmu kebombaan khususnya memadam api di dapur.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan, perkara berkenaan penting bagi mengelakkan insiden kemalangan kebakaran yang kebanyakannya berpunca daripada bahagian dapur rumah.
“Ya, saya rasa suri rumah harus diajar mengenai asas tersebut kerana mereka sentiasa sibuk di dapur walaupun saya tahu lelaki juga pandai memasak.
Tapi kebanyakan hal diurus oleh suri rumah, oleh itu, mereka harus diberi latihan,” katanya pada Program Singgah Sahur Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas dan Kempen Keselamatan Kebakaran Zon Tujuh Limbang, awal pagi tadi.
Bukan itu sahaja, beliau juga mahu semua pemilik rumah memastikan aspek keselamatan di rumah khususnya sistem pendawaian yang telah lama supaya diganti semula.
Sikap tanggungjawab dalam menjaga keselamatan harta benda perlu disemai dalam setiap masyarakat.
Sementara itu, semua pemilik rumah di Sarawak perlu memiliki alat pemadam api bagi mencegah kebakaran di peringkat awal.
Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Premier, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Ketua Zon Tujuh BBP Limbang, Ramlan Marajan dan Ketua-Ketua Balai Bomba Daerah Limbang dan Lawas.
OLEH ADENG EDRUS