
SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan meneruskan usaha mendekati rakyat dengan mengadakan lawatan ke kawasan Kwong Hua, Jalan Sing di Sungai Sadit di sini semalam, bagi meninjau isu kebajikan dan infrastruktur penduduk setempat.
Lawatan itu diketuai oleh Pengerusinya, Kaunselor Kevin Lau bersama beberapa ahli pasukan, termasuk ahli majlis serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan berkenaan.
Mereka melawat hampir 20 rumah untuk mendapatkan maklum balas secara langsung daripada penduduk mengenai masalah yang dihadapi, antaranya gangguan bekalan elektrik, dahan pokok yang mengganggu kabel elektrik, kedudukan tiang elektrik yang tidak sesuai serta kebocoran paip air.
Menurut Lau, pendekatan turun padang ini amat penting, khususnya bagi warga emas yang jarang berurusan di bandar.
“Ia memberi ruang kepada penduduk, khususnya golongan warga emas, untuk menyuarakan masalah secara terus kepada pihak berwajib melalui perantaraan wakil rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Lau berkata, ketika lawatan itu, pihaknya menemui sebuah rumah penduduk yang mengalami kebocoran pada meter air yang terletak di luar rumah.
“Kaunselor Justin Wong Sing Ing bertindak pantas dengan mengambil gambar dan merekodkan lokasi menggunakan sistem GPS sebelum menghantar maklumat itu kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, penduduk turut bersetuju untuk membenarkan pihak majlis membantu menyampaikan aduan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi memastikan tindakan segera dapat diambil.
Dalam pada itu, Lau merakamkan penghargaan kepada semua pemimpin masyarakat, ahli majlis dan ahli JKKK yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan penduduk serta bekerjasama membangunkan kawasan Bawang Assan.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Kapitan Chew Hoo Kiong, Kaunselor Rory Wong, Kaunselor Yong Ing Hock, Ngu Lu Lu dan Tang Tiong Hock.
Oleh Tarani Lanting