SIBU, 14 Oktober: Kerja-kerja penyelenggaraan Jalan Chung Nam Chong di kawasan Tanjung Kunyit dilaksanakan bagi mengatasi masalah air bertakung yang sering berlaku di beberapa bahagian jalan berkenaan, terutama ketika air pasang.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, kerja-kerja itu dilaksanakan oleh Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (MARRIS)
“Aduan penduduk mengenai masalah air bertakung di kawasan itu sebelum ini mendorong usaha kami untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna,” katanya.
Lau berkata, beliau akan terus memantau perkembangan kerja-kerja berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar sehingga selesai.
Terdahulu, Lau bersama pasukan SUPP Cawangan Bawang Assan meninjau kerja-kerja penyelenggaraan jalan itu semalam bagi memantau kemajuan usaha menambah baik infrastruktur demi memenuhi keperluan penduduk setempat.
Dalam lawatan sama, beliau bersama pasukannya turut meninjau projek membaik pulih rumah di bawah program e-Kasih yang hampir siap bagi menilai kemajuan bantuan perumahan kepada penerima yang layak.
Walaupun berdepan kekangan peruntukan, beberapa penambahbaikan telah dilakukan di bahagian dapur dan tandas rumah penerima, selain menggantikan pagar besi lama dengan pagar kayu bagi meningkatkan keselamatan kediaman.
Lau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah Sibu atas bantuan dalam menguruskan permohonan, sekali gus membolehkan penerima yang layak mendapatkan bantuan bagi memperbaiki keadaan tempat tinggal mereka.
Katanya, usaha mendengar keluhan penduduk dan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menyelesaikan masalah setempat terus menjadi keutamaan pasukannya dalam melaksanakan khidmat masyarakat.
Beliau menegaskan bahawa penambahbaikan infrastruktur dan bantuan kepada keluarga yang memerlukan amat penting kerana kedua-duanya memberikan kesan langsung terhadap kehidupan seharian penduduk.
Oleh Akun Giman





