

SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bawang Assan terus memperkukuh peranannya dalam membantu masyarakat dengan menganjurkan program perkhidmatan bergerak di Kedai Kopi Yalin di sini, hari ini.
Program berkenaan diketuai Pengerusinya, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie, bertujuan mendekati penduduk setempat serta menyediakan perkhidmatan berkaitan kebajikan termasuk membantu dalam permohonan Kenyalang Gold Card (KGC) dan Senior Citizen Health Benefit (SCHB).
Menurut Lau, inisiatif itu bagi memastikan penduduk, khususnya warga emas dan golongan memerlukan, mendapat akses lebih mudah kepada bantuan yang disediakan.
“Seperti yang diketahui, kawasan Bawang Assan merangkumi kawasan bandar dan luar bandar. Oleh itu, perkhidmatan bergerak ini diadakan bagi memastikan masyarakat di semua kawasan dapat dibantu tanpa mengira lokasi,” katanya.
Dalam program sama, SUPP Bawang Assan bersama sayap wanitanya turut mengedarkan kek kepada kaum wanita sempena sambutan Hari Wanita Sedunia di sekitar bandar, khususnya di Kedai Kopi Yalin, Ramin Way dan Jalan Wang Nai Siong.
“Hari Wanita Sedunia bukan sekadar memperjuangkan kesaksamaan jantina, tetapi juga sebagai penghargaan kepada peranan wanita dalam membina masyarakat. Kami mahu terus memberi sokongan kepada wanita, termasuk mereka yang memegang jawatan kepimpinan,” ujarnya.
Lau turut mengiktiraf sumbangan besar golongan wanita dalam pelbagai bidang, termasuk kepimpinan dan pembangunan komuniti.
“Peranan wanita kini semakin luas, bukan hanya di rumah tetapi juga dalam masyarakat. Mereka berjaya dalam pelbagai bidang dan menyumbang kepada pembangunan negara,” tambahnya.
Malah, beliau menegaskan bahawa SUPP Bawang Assan bertekad untuk meneruskan perkhidmatan bergerak ini, termasuk melalui lawatan rumah ke rumah di kawasan luar bandar sebagai sebahagian daripada usaha berterusan mereka pada tahun ini.
Oleh Tarani Lanting