LONDON: Superkomputer Piala Dunia meramalkan England akan tersingkir apabila bertemu Perancis pada aksi suku akhir, awal pagi Ahad ini.
Skuad The Three Lions dibimbing Gareth Southgate tampil pada kempen Piala Dunia di Qatar dengan misi memburu gelaran juara.
Harry Kane dan rakan sepasukan yang lain berjaya melepasi cabaran peringkat awal apabila merekodkan kemenangan ke atas Iran, Wales dan Senegal, manakala seri dengan Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, anak buah Southgate berdepan ujian sebenar apabila bertemu Perancis yang memegang status selaku juara bertahan.
Kylian Mbappe dilihat masih bergelut dengan prestasi tidak menentu, tetapi Olivier Giroud berjaya menjadi penjaring terbanyak buat pasukan itu.
Superkomputer daripada laman web BonusCodeBets meramalkan Perancis di bawah kendalian Didier Deschamps akan menyingkirkan Southgate dalam pertempuran taktikal mereka.
Keputusan itu akan menyaksikan Perancis diramal membuat perhitungan separuh akhir dengan Portugal yang dijangka menewaskan Maghribi di sebalik kekalahan dialami Sepanyol di tangan pasukan bukan pilihan itu.
Argentina pula diramal akan menumbangkan Belanda dengan Brazil mengatasi Croatia, sekali gus akan menyaksikan pertembungan Superclasico yang menarik antara dua gergasi Amerika Selatan.
Bagaimanapun, Brazil diramal memusnahkan impian Lionel Messi untuk melangkah ke final, manakala Perancis mengatasi Portugal dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Trofi Piala Dunia kali ini diramal akan menjadi milik Brazil selepas menewaskan Perancis di final, sekali gus menjadi gelaran keenam buat pasukan itu. –