SIMANGGANG: Setiap kali bulan Ramadan, ‘Suntong Tutok’ atau sotong kering ketuk pastinya kudapan yang paling dicari untuk dinikmati selepas berbuka puasa oleh masyarakat di Sarawak.
Walaupun suasana sambutan Ramadan pada kali ini cukup berbeza akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan Covid-19, ia sesekali tidak mematahkan semangat para peniaga untuk meneruskan perniagaan mereka secara atas talian (online) serta kaedah ‘cash on delivery’ (COD) atau bayar selepas terima.
Namun, di bandar Merpati Putih Sri Aman, antara lokasi pilihan untuk mendapatkan juadah popular ini ialah di Kampung Muhibbah.
Bagi seorang peniaga, Ramli Morshidi, 52, berkata perniagaan suntong tutok yang dipelopori bersama oleh tiga bersaudara itu kini merupakan penyambung legasi yang telah memasuki generasi ketiga sejak bermula pada tahun 1982.
“Perniagaan Suntong tutok di bandar Sri Aman ini bukanlah perniagaan baharu, namun ia telah wujud sejak 38 tahun lalu, kini kami di generasi ketiga adalah penyambung perniagaan ini,” katanya.
Beliau berkata, perniagaan itu pada asalnya dimiliki oleh abang beliau sendiri iaitu Zamahari@ Adet, 57, dan Allahyarham Iskandar.
Ramli berkata, jualan variasi suntong tutok pelbagai saiz mengikut harga serendah RM10 hingga RM15, proses penyediaannya tidak sukar dan mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja.
“Selepas saiz suntong dipilih pelanggan perkara pertama perlu dibuat ialah bakar atas bara api seketika untuk melembutkan bagi memudahkan proses meleper. Suntong kemudian akan dileper nipis, proses boleh dibuat menggunakan tukul atau mesin penggelek,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak semalam.
Beliau mengakui proses penyediaan suntong tutok kini lebih mudah dengan menggunakan mesin yang menjimatkan masa berbanding terpaksa mengetuk menggunakan penukul.
“Tidak dinafikan ada yang lebih menyukai proses penyediaan suntong tutok menggunakan penukul, tetapi bagi saya penggunaan mesin tetap memberi kepuasan, sebagai contoh suntong boleh dileper senipis mungkin agar mudah untuk dimakan nanti,” katanya yang dibantu oleh Jafarudin Kamaludin dan Rostandi Rosli.
Jelas Ramli, permintaan suntong tutok amat tinggi pada hari pertama dan kedua bulan Ramadan apabila mereka bertiga tidak menang tangan sebaik sahaja menerima tempahan yang banyak daripada pelanggan.
“Hari pertama dan kedua Ramadan, kami telah menerima tempahan 60 sehingga 70 pek suntong tutok dalam satu-satu masa. Kami bertiga terpaksa bertungkus-lumus menyiapkan tempahan seawal 8 pagi sehingga menjelangnya petang iaitu sebelum berbuka puasa,” ujar beliau.
Beliau berkata tempahan tersebut terpulang kepada pelanggan samada mereka ambil sendiri di kediamannya di Kampung Muhibbah atau menggunakan kaedah perkhidmatan COD yang turut disediakan oleh mereka untuk kawasan Sri Aman sajaha iaitu tidak melebihi jarak 10 kilometer (km).
Ketika ditanya rahsia kekal dalam perniagaan, Ramli mengakui semua orang boleh menjual suntong tutok namun yang membezakan ialah sambal pencicahnya.
“Sambal pencicah saya dibuat daripada cili kering, kacang tanah dan cuka. Proses penyediaan tidak menggunakan mesin untuk mengekalkan rasa asli, mungkin itu rahsia sehingga pelanggan tidak putus-putus membuat tempahan daripada kami.
“Sebenarnya rasa sotong ini sama sahaja di gerai mana pun, kerana kebanyakan sotong kering itu kami beli dari pengedar di Beladin, cuma yang membezakannya ialah sambal,” katanya sambil memaklumkan sambal yang dihasilkannya adalah resipi rahsia yang diperturunkan oleh abang beliau sendiri.