
BINTULU: Projek tebatan banjir Sungai Sebiew perlu disegerakan sebagai langkah jangka panjang untuk mengurangkan risiko bencana berulang di kawasan tersebut, tegas Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Seri Tiong King Sing.
Menurut beliau, antara komponen utama yang sedang dirancang termasuk kerja-kerja mendalamkan sungai serta penempatan semula penduduk yang menetap di tebing sungai ke kawasan yang lebih selamat.
“Bagi menyelaraskan tindakan antara agensi-agensi berkaitan, kami telah menganjurkan Bengkel Projek Tebatan Banjir serta Penempatan Semula Setinggan dan Penduduk di Tebingan Sungai Sibiew, Bintulu.
“Bengkel tersebut telah berlangsung pada 25 dan 26 Februari lalu di Putrajaya, dengan tujuan memastikan kelancaran pelaksanaan inisiatif penting ini,” katanya.
Beliau menyatakan demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan pada Majlis MOTAC Bersama Komuniti @Bintulu 2025, malam tadi.
Tiong turut memaklumkan bahawa penempatan semula penduduk akan melibatkan kawasan seperti Jepak dan Sungai Plan yang dikenal pasti lebih sesuai dan selamat.
“Projek ini akan dipantau secara teliti dan dijangka dimulakan dalam masa terdekat,” tambahnya.
Pada majlis tersebut, Tiong turut mengingatkan orang ramai agar berwaspada terhadap penyebaran maklumat palsu dan gambar yang telah disunting secara tidak bertanggungjawab sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Oleh Carolyne Utih