KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak dapat menahan sebak ketika bertitah mengenai perkahwinan puterinya Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, yang akan berlangsung pada minggu ini.
Al-Sultan Abdullah dilihat mengesat air mata dan tidak dapat meneruskan titah baginda ketika mendoakan perkahwinan puterinya bersama pasangan Fd Idzham Fd Iskandar dipermudahkan Allah SWT dan berjalan lancar, sebelum Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang berada di sebelah baginda menyambung titah tersebut.
“Semoga majlis yang diadakan ini akan berjalan lancar penuh keberkatan dan diredai Allah serta ikatan perkahwinan yang bakal terbina akan kekal (baginda mengesat air mata dan meminta Tengku Hassanal menyambung titah) …baca ini.
“…akan kekal hingga ke jannah, insya-Allah. Di samping itu juga, marilah bersama-sama kita berdoa agar negeri Pahang Darul Makmur serta rakyatnya akan terus dipelihara dan dilindungi Allah SWT,” titah yang dibacakan Tengku Mahkota Pahang.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Masjid Al-Falah Perkampungan Sungai Isap 2 dan Doa Selamat Bersempena Istiadat Perkahwinan Diraja di sini semalam.
Perkahwinan diraja, Tengku Afzan bersama pasangannya akan berlangsung pada 22 hingga 25 Ogos ini dan akan dipentaskan secara langsung bertempat di Tasek Kotasas dan Padang MBK 1, Kuantan.
Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah mengingatkan umat Islam khususnya di negeri itu agar sentiasa memperdalam ilmu agama yang sahih, selari dengan pegangan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan merujuk kepada sumber yang tepat sekiranya terdapat keraguan agama bagi mengelak terjebak dengan ajaran sesat.
“Kebelakangan ini, kita dikejutkan dengan kemunculan kembali saki baki ajaran sesat yang pernah difatwakan sebagai menyimpang oleh jawatankuasa fatwa di seluruh negeri.
Walaupun sudah jelas sesat, masih ada segelintir yang taasub berusaha menghidupkan kembali ajaran ini.
“Sekiranya terdapat keraguan atau kekeliruan terhadap mana-mana ajaran atau amalan, jangan segan dan ragu untuk merujuk kepada pihak berkuasa agama seperti mufti, JAIP (Jabatan Agama Islam Pahang) dan MUIP (Majlis Ugama Islam Pahang). Bukannya kepada ustaz ustazah Facebook dan Tiktok,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah juga turut menzahirkan kebimbangan dengan pelbagai kepincangan yang berlaku dalam masyarakat seperti kes pembunuhan tragis, jenayah seksual, dadah, buli siber, rasuah, menunjukkan betapa parahnya penyakit sosial akhir zaman ini.
Justeru, beliau bertitah masjid tidak boleh lagi berfungsi sekadar menunggu jemaah tetapi perlu bertindak lebih proaktif dalam menangani isu ini, dengan menjadi pusat ilmu serta berperanan sebagai agensi pembangunan akhlak dan moral serta pusat sokongan sosial.
“Bukan sekadar itu, masjid perlu memainkan peranan sebagai medium pencegahan dan penyelesaian konflik, bukan pentas yang mencetuskan konfik. Juga jadikanlah masjid ini sebagai ejen kesejahteraan dan kesedaran kesihatan yang berpanjangan,” titah baginda. – Bernama