PAKAN, 5 Oktober: Dua jambatan baharu di Sungai Kawi dan Sungai Nansang yang siap sepenuhnya kini menyediakan kemudahan perhubungan lebih kukuh dan selamat kepada penduduk Ulu Wak, menggantikan jambatan besi yang digunakan sebelum ini.
Media DUN Pakan berkata, pembinaan kedua-dua jambatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan tahap keselamatan serta kemudahan perhubungan penduduk, khususnya pengguna laluan yang menghubungkan kawasan penempatan dan kegiatan ekonomi setempat.
“Pembinaan dua jambatan baharu berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan tahap keselamatan serta kemudahan perhubungan penduduk di kawasan Ulu Wak, khususnya pengguna laluan yang menghubungkan kawasan penempatan dan kegiatan ekonomi setempat.
“Sebelum ini, Sungai Kawi dan Sungai Nansang telah dihubungkan dengan jambatan besi yang digunakan oleh penduduk bagi tempoh tertentu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, jambatan besi berkenaan memainkan peranan penting dalam memastikan perhubungan penduduk, namun keadaan dan strukturnya perlu ditambah baik bagi memenuhi keperluan semasa.
Justeru itu, atas keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom, kedua-dua jambatan tersebut disenaraikan di bawah Projek Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) untuk digantikan dengan struktur baharu.

“Projek pembinaan dua jambatan baharu itu melibatkan kos keseluruhan kira-kira RM1.5 juta.
“Ia sekali gus memperlihatkan komitmen kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan infrastruktur yang lebih baik kepada masyarakat luar bandar.
“Berbanding jambatan besi terdahulu yang merupakan kemudahan asas untuk menghubungkan kedua-dua kawasan tersebut, jambatan baharu ini dijangka memberikan kemudahan yang lebih selamat dan selesa kepada penduduk serta pengguna laluan, selain meningkatkan keyakinan terhadap aspek keselamatan perjalanan,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua jambatan tersebut kini telah siap sepenuhnya dan mula digunakan penduduk bagi urusan harian mereka.
“Keprihatinan terhadap keperluan infrastruktur asas seperti jambatan, jalan raya dan kemudahan perhubungan amat penting bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman turut menikmati manfaat pembangunan secara berterusan,” katanya.
Media DUN Pakan turut menyifatkan siapnya kedua-dua projek tersebut sebagai bukti kawasan Ulu Wak terus mendapat perhatian dalam agenda pembangunan kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Selain meningkatkan keselamatan perjalanan, kemudahan berkenaan dapat memperkukuh hubungan antara kawasan penempatan dan lokasi kegiatan ekonomi yang bergantung kepada laluan tersebut.
“Sehubungan itu, penduduk di kawasan Ulu Wak digesa agar terus memberikan sokongan kepada kerajaan sedia ada bagi memastikan agenda pembangunan yang mampan dapat diteruskan demi kepentingan masyarakat dan kemajuan kawasan berkenaan,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek




