MIRI: Seramai 25 wanita daripada Persatuan Wanita Berawan Long Terawan Mulu Miri menyertai Bengkel Kraftangan Sulaman Manik dan Labuci yang berlangsung selama dua hari di Bangunan Forum Miri pada 15 dan 16 Ogos lalu.
Bengkel anjuran Victoria’s Enterprise bersama Persatuan Wanita Berawan Long Terawan Mulu Miri itu bertujuan memelihara dan memulihara seni sulaman manik dan labuci yang merupakan antara khazanah kraftangan berharga Sarawak.
Majlis penutupan bengkel berkenaan dirasmikan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dominic Nyurang Ajang.
Dalam ucapan penutupannya, beliau menyeru peserta supaya memanfaatkan peluang yang diberikan menerusi bengkel berkenaan dengan menguasai teknik sulaman manik dan labuci dengan betul.
Menurut beliau, kemahiran tersebut bukan sahaja penting dalam usaha memastikan seni kraftangan tradisional terus dipelihara, malah boleh dikembangkan sebagai satu bidang kerjaya yang boleh dilakukan dari rumah.


ANTARA hasil kraftangan sulaman manik dan labuci yang dihasilkan oleh peserta sepanjang Bengkel Kraftangan Sulaman Manik dan Labuci.
“Saya menyeru kepada semua peserta supaya memanfaatkan peluang mengikuti bengkel ini dengan sebaik-baiknya. Kuasailah teknik sulaman manik dan labuci dengan betul kerana kemahiran ini bukan sahaja dapat membantu memelihara warisan kraftangan Sarawak, malah berpotensi dijadikan sebagai kerjaya dari rumah,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya peserta memberi fokus dan bersungguh-sungguh dalam bidang berkenaan, kemahiran yang diperoleh boleh dikembangkan menjadi perniagaan dan seterusnya melahirkan usahawan kraftangan yang mahir.
“Jika peserta memberi fokus, terus belajar dan bersungguh-sungguh dalam bidang ini, saya percaya kemahiran yang diperoleh boleh dikembangkan menjadi satu perniagaan dan seterusnya melahirkan usahawan kraftangan yang mahir serta mampu menjana pendapatan untuk diri sendiri dan keluarga,” katanya.
Beliau turut berharap seni sulaman manik dan labuci terus dipelihara serta dikembangkan oleh generasi akan datang supaya kekal relevan meskipun industri kraftangan kini berdepan perkembangan teknologi dan penggunaan mesin moden.
Sementara itu, Penasihat Kehormat Persatuan Wanita Berawan Long Terawan Mulu Miri, Datin Catherine Awing Wan, turut menyeru peserta supaya terus berusaha menghasilkan rekaan sulaman manik dan labuci yang berkualiti.

Katanya, kemahiran yang dipelajari menerusi bengkel itu boleh dikembangkan sebagai satu kerjaya dari rumah, selain membantu menjana pendapatan untuk diri sendiri dan keluarga.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Wanita Berawan Long Terawan Mulu Miri (Dicu Kitah), Loretta Hebert Madang, merakamkan penghargaan kepada penganjur bengkel serta tenaga pengajar bertauliah daripada Victoria’s Enterprise, Victoria Mujan dan pasukannya.
Beliau turut menyampaikan penghargaan khas kepada Majlis Kraf Sarawak atas sokongan penuh yang diberikan dalam menjayakan Bengkel Kraftangan Sulaman Manik dan Labuci berkenaan.
Bengkel tersebut turut menjadi platform kepada peserta untuk meningkatkan kemahiran dalam menghasilkan sulaman manik dan labuci, sekali gus memastikan seni kraftangan berkenaan terus dipelihara serta mempunyai nilai dalam industri kraftangan masa kini.
Oleh Faizah Muzidi




