BARISAN pemain muda skuad Sarawak United FC III (SUFC III) yang beraksi dalam kancah Piala Belia 2021 tetap meneruskan latihan kecergasan di tempat penginapan pemain di Miri bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pengurus pasukan Nazri Ahmad Lai memberitahu, pasukan itu menyediakan jadual latihan khas kepada pemain dan latihan fizikal itu perlu dilakukan setiap pemain untuk memastikan tahap kecergasan mereka tidak terjejas susulan tiada latihan di padang dilakukan pada masa ini.
KATANYA jadual latihan itu yang memberi fokus kepada kecergasan fizikal perlu dilakukan setiap pemain bukan sahaja sentiasa cergas tetapi penting untuk menentukan berat badan mereka kekal baik.
“Sebagai pemain profesional, setiap pemain diwajibkan melakukan latihan itu untuk satu tempoh tertentu setiap hari, supaya tahap kecergasan mereka kekal baik.
“Ketua jurulatih (Pengiran Bala) akan terus memantau setiap pemain dan sebagai pemain profesional, mereka arif tentang keperluan berada dalam tahap kecergasan terbaik serta keadaan berat badan yang stabil.
“Saya fikir semua pasukan melakukan perkara yang sama kerana ia amat penting untuk pasukan bersedia meneruskan cabaran dalam Piala Belia 2021, sebaik ia kembali diteruskan nanti,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.
Nazri menjelaskan tiada pilihan pasukan bimbingannya untuk kembali bergantung kepada cara latihan yang pernah diamalkan oleh mana-mana pasukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.
Namun, ada sedikit kelegaan dalam kalangan kem skuad SUFC III yang dibarisi seramai 29 orang pemain itu, kerana pemain boleh keluar berjoging dan melakukan senaman di sekitar penginapan mereka dan itu penting buat pemain dalam mengekalkan tahap kecergasan mereka.
“Pemain kena disiplin serta jujur dalam soal ini dan kena patuh terhadap program yang jurulatih telah rangka dan seperti semua pihak dan menuntut kerjasama semua pengurusan dan pemain itu mampu berjalan dengan lancar seperti yang dirancang,” ujarnya.
Jelas Nazri, pihaknya telah menghantar surat permohonan kepada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan juga Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bagi tujuan mengadakan latihan skuad SUFC III.
“Kita telah menghantar surat permohonan kepada SSC dan JPBNS untuk meminta kebenaran bagi menjalani latihan berpasukan SUFC III, dan kita sedang menunggu jawapan lisan atau bersurat daripada mereka.
“Seperti sedia maklum, kempen Piala Belia 2021 akan disingkap tirainya pada 2 Jun ini, jadi pasukan kita memerlukan latihan berpasukan untuk tujuan itu kerana pada 2 Jun nanti pasukan kita akan menentang skuad Kuching City FC di Kuching,” tegasnya.
SUFC III diundi dalam Kumpulan C (Tengah) membabitkan Terengganu FC IV, Sabah FC IV, PJ City FC, Kuching City FC dan Selangor FC.
Oleh ADI SAFARMAN