KUALA LUMPUR: Pemberian inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar universiti awam bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga, malah memudahkan pelajar pulang ke kampung halaman masing-masing.
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) Fatin Amirah Mohd Hisham berkata, bantuan bernilai RM300 itu sedikit sebanyak melegakan pelajar dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk pulang ke kampung ketika cuti semester.
Katanya, ramai pelajar dari Sabah dan Sarawak di UPM mempunyai kesulitan untuk membeli tiket penerbangan kerana harganya yang tinggi, sehingga ada yang tidak pulang pada musim perayaan atau cuti semester.
“Rungutan diterima daripada kawan-kawan saya sendiri dan banyak juga yang disampaikan kepada Majlis Perwakilan Pelajar. Mereka (pelajar) perlu bekerja dan kumpul wang pada setiap semester hanya untuk beli tiket. Kalau tidak cukup, maka tidak balik lah mereka,” katanya kepada Bernama.
Oleh itu, beliau berkata pemberian subsidi itu walaupun hanya bernilai RM300 secara one-off, amat diperlukan oleh pelajar khususnya mereka yang berasal daripada keluarga B40 selain tepat pada masanya memandangkan cuti semester akan bermula tidak lama lagi.
“Kami faham, sebenarnya tidak mudah untuk kerajaan membelanjakan wang sebanyak RM16.8 juta ini untuk manfaat lebih 56,000 pelajar. Tetapi, pemberian seperti ini baik secara one-off sedikit sebanyak meringankan beban pelajar dan keluarga mereka,” katanya.
Fatin Amirah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan sebanyak RM300 untuk mahasiswa universiti awam bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan bermula 15 Ogos ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke ketika mengumumkan inisiatif berkenaan pada Rabu (12 Julai) berkata, ia akan dilaksanakan melalui kaedah pemberian credit shell iaitu syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital kepada setiap pelajar yang layak untuk ditebus bagi pembelian tiket penerbangan laluan domestik.
Fatin Amirah bagaimanapun mencadangkan kerajaan untuk memperincikan pelaksaan subsidi itu bagi mengelakkan pelajar yang layak mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan namun tercicir disebabkan kekeliruan mereka.
“Kerajaan amat prihatin kerana telah mendengar rungutan kami yang telah dibawa (untuk kerajaan) sekian lama. Saya harap inisiatif ini akan berpanjangan dan tidak secara one-off buat kali ini sahaja,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kelab Patriot Chapter Sabah Universiti Utara Malaysia (UUM) Muhammad Harith Fauzan Mohd Faudzi berkata, walaupun subsidi itu tidak dapat menampung harga tiket penerbangan secara keseluruhan, namun ia dapat menjimatkan wang saku pelajar.
“Kalau ada duit lebih, kami boleh guna untuk perbelanjaan harian. Sebelum ini nak ‘survive’ pun dah terbeban, apa lagi terpaksa kumpul duit untuk beli tiket penerbangan untuk pulang.
“Dekat UUM sendiri kalau tengok kedai-kedai di sini, ramai pekerja (separuh masa) adalah pelajar dari Sabah dan Sarawak. Mereka cari wang dan kumpul duit untuk beli tiket, nak harap pinjaman PTPTN sahaja tidak cukup,” katanya.
Mahasiswa yang berasal dari Kunak, Sabah itu bagaimanapun meminta kerajaan untuk meneliti mekanisme pemberian subsidi kepada pelajar yang perlu mengambil lebih daripada satu penerbangan untuk sampai ke destinasi akhir.
Memberi contoh perjalanannya sendiri, beliau berkata pelajar UUM perlu menaiki pesawat dari Alor Setar, Kedah ke Kuala Lumpur terlebih dahulu, sebelum meneruskan perjalanan dengan menaiki pesawat lain untuk ke destinasi akhir di Sabah.
Beliau turut mencadangkan kerajaan untuk mewujudkan satu dana khas bagi membantu pelajar yang menuntut di luar wilayah untuk segera pulang ke kampung halaman masing-masing apabila berlaku hal kecemasan seperti kematian keluarga terdekat. – Bernama