
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengenal pasti beberapa bentuk salah laku tatakelola berisiko tinggi yang boleh berlaku dalam pengurusan krisis bekalan global susulan konflik di Asia Barat, khususnya melibatkan pengagihan bantuan dan subsidi bahan api.
Pengerusi EAIC, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, risiko itu timbul apabila tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dalam keadaan mendesak bagi mengekang ketirisan sumber awam, termasuk subsidi petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair.
Beliau berkata, berdasarkan mandat EAIC yang memantau 20 agensi penguatkuasaan, suruhanjaya itu telah mengenal pasti tiga bentuk risiko utama sepanjang tempoh krisis, antaranya penyeludupan bahan api bersubsidi, khususnya di kawasan sempadan sekiranya pegawai penguat kuasa menyalahgunakan kuasa atau gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Sebagai contoh, pegawai penguat kuasa yang menjaga pintu sempadan boleh melepaskan kenderaan yang membawa muatan bahan api bersubsidi yang cuba diseludup keluar oleh pihak tidak bertanggungjawab, jika pemeriksaan tidak dijalankan secara ketat dan menyeluruh yang akhirnya menyebabkan bahan bersubsidi itu berjaya diseludup keluar,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, Ismail berkata, EAIC turut mengenal pasti risiko penyelewengan bekalan bahan api dalam kalangan pegawai penguat kuasa sendiri, khususnya apabila bekalan yang diperuntukkan bagi tujuan operasi disalahgunakan untuk kepentingan peribadi atau keuntungan tertentu.
Beliau berkata, suruhanjaya itu pernah menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap kes melibatkan penyalahgunaan bekalan bahan api jabatan, sekali gus menunjukkan keperluan kawalan dalaman yang lebih ketat dalam pengurusan sumber operasi.
Pada masa sama, Ismail menegaskan keberkesanan pemantauan di stesen minyak dan kawasan berisiko tinggi antara faktor kritikal dalam usaha membanteras ketirisan bahan api bersubsidi, termasuk kes penyalahgunaan subsidi oleh individu yang membenarkan kad pengenalan mereka digunakan oleh pihak tidak layak.
Ismail ketika mengulas langkah kerajaan menempatkan anggota Polis Diraja Malaysia secara sementara di 151 stesen minyak berisiko tinggi berkata inisiatif itu antara langkah proaktif yang mampu memperkukuh penguatkuasaan serta mengekang ketirisan subsidi bahan api.
“Langkah itu juga membolehkan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi tumpuan kepada lokasi berisiko lain seperti depoh diesel nelayan, stesen tanpa jenama, jeti haram serta aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal atau bunkering haram,” katanya.
Ismail bagaimanapun berkata tahap keberkesanan langkah-langkah itu masih di peringkat awal dan memerlukan pemantauan berterusan bagi menilai impak sebenar terhadap pengurangan ketirisan subsidi.
Beliau berkata, setakat ini EAIC masih belum mengesan sebarang petunjuk awal yang jelas berhubung penyalahgunaan kuasa atau salah laku tatakelola susulan pelaksanaan langkah intervensi kerajaan, namun pemantauan terhadap corak aduan awam akan terus diperkukuh memandangkan pengendalian bahan bersubsidi kekal sebagai bidang berisiko tinggi dalam situasi krisis.
Menurut Ismail, penyelarasan antara agensi penguatkuasaan semasa krisis perlu diperkukuh melalui pendekatan lebih tersusun bagi mengelakkan pertindihan tugas serta kelewatan pelaksanaan di lapangan, selain meningkatkan kecekapan operasi.
“Antara langkah utama yang boleh dilaksanakan ialah penubuhan pusat penyelarasan krisis atau command centre di peringkat nasional atau kementerian bagi memastikan arahan diselaras secara berpusat dan setiap agensi melaksanakan tanggungjawab masing-masing secara teratur,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, pewujudan SOP yang jelas berkaitan pelaksanaan tugas agensi penguatkuasaan adalah elemen penting dalam memperkukuh tadbir urus semasa krisis, termasuk penetapan bidang kuasa, aliran kerja dan saluran komunikasi rasmi bagi memastikan setiap agensi memahami peranan masing-masing serta mengelakkan pertindihan fungsi yang boleh menjejaskan keberkesanan operasi.
“Perkongsian maklumat secara berpusat melalui sistem digital atau platform bersama juga membolehkan semua agensi bertindak berdasarkan data yang seragam, sekali gus mengurangkan percanggahan maklumat dan kelewatan dalam pelaksanaan tindakan penguatkuasaan.
“Pendekatan itu dapat meningkatkan kecekapan pemantauan serta memudahkan pengesanan isu integriti dalam tempoh yang lebih cepat, khususnya dalam situasi krisis yang memerlukan tindak balas segera,” katanya.
Beliau berkata pelantikan pegawai penghubung bagi setiap agensi penguatkuasaan turut memainkan peranan penting dalam menyelaras tindakan antara agensi serta memastikan maklumat disampaikan dengan tepat dan konsisten.
Dalam pada itu, Ismail berkata, EAIC akan terus melaksanakan penilaian risiko integriti secara proaktif melalui pemantauan dan siasatan berfokus bagi mengenal pasti potensi kelemahan dalam sistem penguatkuasaan, dengan memberi tumpuan kepada usaha pencegahan salah laku serta pengukuhan integriti dalam pelaksanaan dasar intervensi kerajaan.
Beliau menambah, ketelusan maklumat kepada rakyat juga antara elemen penting dalam memastikan pelaksanaan dasar kecemasan atau bantuan bersasar berjalan secara berkesan tanpa menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Ketelusan maklumat ketika pelaksanaan dasar kecemasan atau bantuan bersasar memerlukan penyampaian yang jelas, tepat dan konsisten melalui saluran rasmi, dengan setiap keputusan dan kriteria pelaksanaan disemak serta diselaraskan terlebih dahulu antara agensi bagi memastikan rakyat menerima maklumat yang sahih dan tidak bercanggah,” katanya.
Ismail berkata, komunikasi semasa krisis perlu diselaraskan melalui proses pengesahan maklumat antara agensi bagi mengelakkan percanggahan kenyataan atau penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh menjejaskan kepercayaan awam.
“Sebarang kelemahan dalam penyelarasan atau ketidaktepatan maklumat yang menjejaskan kepercayaan awam boleh menjadi antara perkara yang diberi perhatian dari sudut tatakelola dan pematuhan integriti,” katanya. – Bernama