BULAN ini kita menyambut pembentukan Malaysia ke-61. Ini merupakan satu kebanggaan rakyat Malaysia kerana Malaysia yang dibentuk membawa kepada banyak pembangunan dan kemajuan. Pada masa sama, usaha memperkukuhkan Malaysia diteruskan oleh mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
Jawatankuasa ini merupakan satu badan yang bertindak meneliti kehendak dan tuntutan daripada kedua-dua negeri tersebut berdasarkan usaha untuk memantapkan pembangunan kedua-dua negeri.
Perkara berkaitan pembangunan inilah yang menjadi sebab utama mengapa kedua-dua negeri ini setuju membentuk Malaysia. Hal ini boleh kita teliti menerusi peranan Suruhanjaya Cobbold yang membuat tinjaun daripada rakyat Sarawak dan Sabah. Penduduk yang dilawati itu mengemukakan pelbagai saranan dan kehendak menerusi surat untuk bersetuju membentuk Malaysia dengan syarat pembangunan harus menjadi antara perkara yang dikehendaki menjadi penduduk kedua-dua negeri ini.
Pendidikan
Antara pihak yang menghantar surat sokongan pembentukan Malaysia kepada Suruhanjaya Cobbold adalah Persatuan Guru-Guru Bumiputera Sarawak. Antara saranan mereka adalah meminta agar Kerajaan Persekutuan yang akan dibentuk menambah pemberian dana pendidikan bagi semua negeri mengikut keperluan dan saiz penduduknya. Mereka juga meminta agar satu peluang yang sama bagi semua negeri nanti dalam bidang pendidikan.
Tambahan itu mereka juga meminta menyeragamkan sistem pendidikan di seluruh negara. Oleh kerana penduduk Bumiputera yang ketinggalan jauh dalam pendidikan, mereka menyarankan agar biasiswa harus diutamakan kepada penduduk Bumiputera. Mereka juga meminta agar penganugerahan biasiswa harus diutamakan kepada penduduk Sarawak kerana mereka masih lagi ketinggalan dengan negeri di Tanah Melayu.
Saranan daripada persatuan tersebut sehaluan dengan seorang penduduk dari Kampung Raeh bernama Lingger. Beliau menekankan pendidikan perlu diperkasakan di Sarawak. Katanya, Malaysia yang akan dibentuk akan membawa orang berpendidikan tinggi dari Tanah Melayu mengajar penduduk Sarawak yang masih ketinggalan dalam pendidikan. Surat daripada masyarakat Melanau di Balingian yang mewakili Kampung Masjid, Kampung Pulat dan Kampung Suyong menyatakan sokongan kepada pembentukan Malaysia juga menekankan soal pendidikan. Mereka mahu agar peluang pendidikan diberi kepada penduduk pribumi yang masih lagi ketinggalan daripada kaum bukan Bumiputera.
Pembangunan ekonomi
Suara tentang perlunya dimajukan pendidikan juga disuara oleh ketua kampung dan pemimpin-pemimpin Daerah Dalat/Oya. Mereka menekankan agar apabila Malaysia dibentuk nanti, maka sekolah-sekolah di luar bandar hendaklah dimajukan pada kadar yang cepat. Dalam hal ini mereka menekankan agar penduduk Bumiputera diberi taraf kedudukan istimewa seperti orang Melayu di Tanah Melayu.
Menerusi keistimewaan ini, kaum Bumiputera akan dapat maju dalam bidang pendidikan, ekonomi dan perkhidmatan awam. Ini kerana ketiga-tiga aspek ini menurut mereka, masih lagi tahap yang tidak memuaskan.
Saranan tentang pembangunan kaum Bumiputera ini terus disuarakan dalam surat yang datang dari Barisan Pemuda Sarawak Cawangan Daerah Oya. Mereka menekankan agar perlunya ada jaminan pembangunan ekonomi Bumiputera yang harus dijalankan sesegera mungkin.
Soal kemajuan ekonomi Bumiputera ini juga disokong oleh Barisan Pemuda Sarawak, Cawangan Mukah. Dalam surat yang ditulis oleh Awang Sanusi Putra menyatakan dalam perkara empat adalah untuk meminta agar kemajuan ekonomi dan taraf kehidupan penduduk Bumiputera harus dijalankan sesegera mungkin selepas Malaysia dibentuk.
Bagi konselar dalam Majlis Perbandaran Sibu yang terdiri daripada Ainie Dhobby, Ibrahim Taha, Phillip Atan dan Jamal Dris menyatakan bahawa sokongan kepada Malaysia berteraskan agar kaum Bumiputera dapat dimajukan dalam bidang pendidikan dan ekonomi.
Mereka mahukan agar pembangunan ekonomi dan taraf hidup kaum Bumiputera perlu disegerakan setelah pembentukan Malaysia. Soal pendidikan rendah pula mereka mahu agar mewajibkan dan memberi pendidikan percuma kepada penduduk Bumiputera. Mereka juga menyentuh soal pendidikan tertiari perlu diperkasakan dengan memberi banyak kemudahan kepada penduduk Sarawak selepas Malaysia dibentuk.
Segera mungkin
Bagi wakil penduduk di Kampung Penakub Hilir, Kuala Lama, Tillian Hilir, Tutus Hilir, Litong, Petanak, Panipah dan Bedengan, Mukah menyatakan bahawa keadaan Bumiputera dalam aspek ekonomi, pelajaran dan penyertaan dalam perkhidmatan awam juga tidak memuaskan. Mereka amat berharap agar kedudukan istimewa orang Melayu di Tanah Melayu harus juga diberikan kepada penduduk Bumiputeta Sarawak bagi tujuan memajukan penduduk Bumiputera.
Usaha untuk meminta agar Malaysia kelak akan memberi manfaat ekonomi terus disuarakan oleh Tuai Rumah Linggie dan Daniel Johnny yang mewakili ketua kaum di Lowek Awek, Sarawak. Dalam pemintaan mereka khususnya pada lapan dan 10 perkara menyentuh mengenai kaum Bumiputera dan ekonomi Sarawak. Dalam perkara lapan, mereka meminta agar kaum Bumiputera mendapat hak yang adil dalam perkhidmatan awam kerajaan terutama bagi yang mempunyai kelayakan tinggi. Perkara 10 lebih menjuruskan agar Sarawak akan mendapat bantuan pembangunan yang adil dalam persekutuan yang baharu dibentuk.
Sokongan
Lebih menarik lagi cadangan daripada penduduk Kampung Jepak, Bintulu apabila menyatakan sokongan kepada pembentukan Malaysia. Konselar Awang Ismail Pengeran Zainuddin dalam menyebut soal ini menyatakan bahawa Sarawak belum boleh merdeka sendirian. Ini kerana menurut beliau bahawa Sarawak masih lagi ketinggalan dalam pembangunan pendidikan dan ekonomi khusunya pada rakyat Sarawak sendiri.
Nada yang sama juga dinyatakan oleh wakil bagi 4000 penduduk di Kampung Dagang, Sinong, Mesjid, Sebiew, Sebu’an dan Jepak di Bintulu bahawa Malaysia sebagai pilihan terbaik untuk Sarawak. Ini kerana mereka menyatakan bahawa keadaan kewangan dan ekonomi merupakan faktor yang tidak memungkinkan Sarawak merdeka sendirian. Mereka berpendapat hanya menerusi penubuhan Malaysia sahaja perkara ini boleh dibaiki dan menjamin keselamatan Sarawak daripada ancaman komunis.
Ini merupakan sebahagian kecil sahaja cadangan yang rakyat Sarawak kemukakan menjurus kepada soal pembangunan pendidikan dan ekonomi. Menerusi saranan ini menunjukkan bahawa rakyat Sarawak mahukan Malaysia agar Sarawak khususnya kaum Bumiputera akan lebih maju. Ini merupakan harapan besar mereka agar Sarawak akan maju bersama Malaysia.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa (SPHEA), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).