WALAUPUN teknologi komunikasi semakin canggih sehingga orang yang berjauhan dapat berhubung secara dalam talian, ia sama sekali tidak akan dapat menggantikan pengalaman berada berdekatan secara fizikal atau merasai suasana di tempat yang ingin dituju. Oleh kerana itu, penerbangan domestik di Malaysia kekal mendapat sambutan tinggi, dengan anggaran sekurang-kurangnya 400 penerbangan setiap hari yang menyambungkan pelbagai lapangan terbang di seluruh negara.
Dengan jumlah pergerakan pesawat yang begitu banyak, keperluan bahan api juga akan meningkat. Tambahan pula, dengan harga bahan api yang sering berubah-ubah, langkah berkesan perlu diambil untuk memastikan penggunaan bahan api berada pada tahap optimum, sekali gus dapat mengawal kesan pencemaran emisi bagi menjaga kelestarian alam sekitar.
Jenis dan komposisi bahan api
Di Malaysia, kebanyakan kapal terbang yang digunakan oleh syarikat penerbangan untuk laluan domestik ialah dalam ‘keluarga’ Airbus A320 dan Boeing 730. Kedua-dua jenis kapal terbang ini menggunakan bahan api Jet-A1 iaitu sejenis bahan api yang berasaskan kerosin. Dari segi kimia, Jet-A1 terdiri daripada hidrokarbon alifatik serta sebatian lain seperti parafin, sikloalkana dan aromatik. Komposisi bahan ini memberikan kestabilan tinggi pada suhu yang ekstrem.
Bahan api ini direka untuk berfungsi pada suhu serendah -47°C yang menjadikannya sesuai untuk penerbangan di altitud tinggi. Hal ini kerana, pada altitud tinggi, suhu persekitaran boleh turun dengan mendadak. Selain itu, Jet-A1 ini juga dapat memberikan pembakaran yang konsisten untuk enjin turbin bagi menghasilkan tenaga besar untuk menerbangkan pesawat.
Kapasiti dan penyimpanan bahan api
Kapal terbang Airbus A320 mempunyai kapasiti bahan api sekitar 24,210 liter, manakala Boeing 737 pula dapat membawa sekitar 26,025 liter bahan api. Kapasiti ini cukup untuk membolehkan pesawat melakukan penerbangan jarak sederhana hingga jauh tanpa perlu mengisi semula bahan api dalam laluan sehala, terutamanya dalam laluan domestik yang lebih pendek.
Bahan api dalam kapal terbang disimpan dalam tangki yang terletak di sayap kapal terbang. Penyimpanan di sayap bukan sahaja membantu menjimatkan ruang tetapi juga menambah kestabilan kapal terbang semasa penerbangan. Dengan meletakkan bahan api di sayap, pusat graviti kapal terbang dapat diseimbangkan untuk menjadikan penerbangan lebih stabil dan selamat.
Dengan kapasiti tangki sebegini, Airbus A320 contohnya dapat terbang sejauh 6,200 km dengan pengisian tangki penuh. Oleh itu, apabila bilangan penumpang maksimum dapat dibawa untuk menempuh jarak lebih jauh dalam masa lebih singkat, maka kos bahan api akan lebih efektif.
Strategi pengoptimuman penggunaan bahan api
Satu aspek penting dalam memastikan penggunaan bahan api yang optimum ialah pengurusan laluan penerbangan. Laluan yang lebih pendek dan efisien akan mengurangkan masa penerbangan dan seterusnya mengurangkan jumlah bahan api yang diperlukan.
Syarikat penerbangan menggunakan teknologi seperti Sistem Pengurusan Penerbangan (FMS) untuk merancang laluan yang paling optimal, mengelakkan kawasan cuaca buruk dan memilih altitud sesuai untuk mengoptimumkan prestasi pesawat.
Dalam penerbangan domestik dengan jarak yang lebih ‘pendek’ jika dibandingkan laluan antarabangsa, kapalterbang akan melakukan pendakian dengan cepat ke altitud ‘cruising’ iaitu sekitar 7,600 meter hingga 9,000 meter. Perkara ini membantu memastikan pesawat mencapai tahap kecekapan bahan api secepat mungkin.
Selain itu, penerbangan domestik sering menggunakan teknik Continuous Descent Approach (CDA), iaitu pesawat menurunkan altitud secara berterusan tanpa peningkatan kuasa enjin besar yang menjimatkan bahan api semasa fasa pendaratan.
Pengaruh cuaca dan angin
Keadaan cuaca boleh mempengaruhi kecekapan penggunaan bahan api. Gelora angin yang terhasil akibat cuaca yang tidak menentu boleh menyebabkan kapal terbang tidak dapat berada di altitud penerbangan yang optimum. Selain menyebabkan gegaran dan keadaan kurang selesa, penggunaan bahan api akan turut bertambah kerana pesawat perlu mengubah laluan atau ketinggian untuk mengelak keadaan cuaca buruk. Hal ini menambah rintangan udara dan boleh menyebabkan kapal terbang membakar lebih banyak bahan api untuk mengekalkan kelajuan atau kestabilan penerbangan.
Apabila kapal terbang berada dalam laluan angin belakang (tailwind), keadaan ini boleh membantu kapal terbang mencapai destinasi dengan lebih cepat kerana tailwind seolah-olah menolak kapal terbang. Oleh sebab itu, penggunaan bahan api akan lebih rendah. Sebaliknya, jika angin depan (headwind) ditempuh oleh kapal terbang, keadaan ini akan menyebabkan pesawat membakar lebih banyak bahan api kerana terpaksa bekerja lebih keras untuk menentang arus angin. Oleh itu, penerbangan domestik sering memerlukan pengurusan cuaca yang teliti oleh juruterbang dan pengawal lalu lintas udara untuk memastikan kapal terbang kekal pada laluan yang efisien untuk penggunaan bahan api.
Strategi tankering
Tankering adalah strategi kapal terbang membawa lebih banyak bahan api daripada yang diperlukan bagi mengelakkan pengisian semula di lapangan terbang yang mengenakan harga bahan api lebih tinggi. Dalam penerbangan domestik, strategi ini berguna jika harga bahan api di lapangan terbang destinasi dituju adalah lebih mahal berbanding lapangan terbang asal.
Sebagai contoh, kapal terbang yang terbang dari Kuala Lumpur ke Langkawi mungkin mengisi lebih banyak bahan api di Kuala Lumpur untuk mengelakkan kos tinggi bahan api yang perlu dibayar di Langkawi. Namun strategi ini mempunyai kelemahannya. Apabila kapal terbang membawa bahan api tambahan, ia secara langsung akan menambah berat pesawat. Hal ini boleh meningkatkan penggunaan bahan api semasa pendakian dan cruising. Oleh itu, strategi tankering hanya digunakan jika perbezaan harga bahan api cukup ketara untuk menampung kos tambahan akibat peningkatan berat kapal terbang.
Pengangkutan udara akan sentiasa mendapat sambutan kerana ia merupakan kaedah paling cepat dan efisien untuk perjalanan jarak jauh. Dengan kemajuan teknologi yang digunakan dalam pembinaan kapal terbang termasuk peralatan moden yang dapat membantu meningkatkan keselamatan dan prestasi penerbangan, industri penerbangan akan terus berkembang.
Bahan api yang menjadi nadi utama pengoperasian kapal terbang juga semakin efisien dengan inovasi seperti bahan api penerbangan lestari (SAF) dan enjin yang lebih cekap. Penggunaan bahan api yang lebih baik ini bukan sahaja mengurangkan kos operasi tetapi juga membantu mengurangkan impak alam sekitar melalui pengurangan emisi karbon.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.