PADA September lalu, penulis berkunjung ke kota Nanning atas urusan akademik dan ini digunakan untuk mengenali kota Nanning lebih dekat lagi, selain menyantuni komuniti muslim Cina di sana.
Banyak yang menarik untuk dikongsi kepada pembaca mengenai kota yang mempunyai penduduk sekitar 8.7 juta dan terletak di provinsi Guangxi yang mempunyai penduduk sekitar 50 juta.
Wilayah ini merupakan wilayah autonomi dan mempunyai sejarah panjang, bermula dari era Dinasti Tang (618–907 M) ketika itu dikenali sebagai Yongzhou. Kota ini memainkan peranan penting sebagai pusat perdagangan dan pertukaran budaya antara wilayah-wilayah di China dan kawasan Asia Tenggara.
Lokasi strategiknya di Lembah Sungai Youjiang menjadikan Nanning sebagai pintu masuk penting bagi perdagangan dan interaksi budaya di sepanjang Jalur Sutera Maritim. Selepas penubuhan Republik Rakyat China pada 1949, Nanning mula berkembang sebagai pusat pentadbiran dan ekonomi di selatanChina. Pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, kereta api dan pelabuhan membantu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi Nanning.
Kepesatan bermula
Bandar ini juga menjadi pintu gerbang bagi pembangunan ekonomi di Wilayah Autonomi Guangxi, dengan pelaburan dalam sektor pertanian, industri ringan dan perdagangan. Era pembaharuan ekonomi China yang dimulakan oleh Deng Xiaoping pada akhir 1970-an memberi impak besar kepada Nanning. Bandar ini mula dibuka kepada pelaburan asing dan domestik, terutama dalam sektor perkilangan, perdagangan, dan perkhidmatan.
Kerajaan China melancarkan pelbagai inisiatif untuk memajukan Nanning sebagai pusat logistik dan perdagangan, termasuk pembinaan Taman Perindustrian Nanning dan Zon Pembangunan Ekonomi dan Teknologi Nanning. Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, Nanning telah muncul sebagai hab ekonomi, budaya dan perdagangan serantau.
Sebagai tuan rumah kepada Ekspo China-ASEAN yang diadakan setiap tahun sejak 2004, Nanning memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan perdagangan dan kerjasama antara China dan negara-negara ASEAN dan hanya tiga jam lebih penerbangan dari Kuala Lumpur ke sana. Inisiatif ‘Belt and Road’ juga telah mempercepatkan pembangunan infrastruktur, termasuk lebuh raya, kereta api berkelajuan tinggi, dan pelabuhan, menjadikan Nanning sebagai pusat pengangkutan serantau yang penting.
Kerajaan tempatan juga melabur dalam sektor teknologi tinggi, inovasi, dan industri perkhidmatan moden, menjadikan Nanning sebagai bandar yang maju dalam teknologi dan perkhidmatan. Usaha memelihara alam sekitar dan menjadikan Nanning sebagai ‘Bandar Hijau’ dengan taman-taman dan ruang hijau turut menyumbang kepada kualiti hidup yang tinggi.
PUSAT INOVASI TEKNOLOGI
Nanning telah muncul sebagai hab inovasi dengan menubuhkan taman teknologi dan zon pembangunan industri berteknologi tinggi. Zon-zon ini menarik syarikat-syarikat teknologi tempatan dan antarabangsa untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di kawasan tersebut. Pusat-pusat inovasi ini menumpukan kepada teknologi pintar, kecerdasan buatan (AI), internet of things (IoT) dan teknologi hijau, menyumbang kepada ekonomi digital yang semakin berkembang di Nanning.
Penulis dibawa berkunjung ke sebuah syarikat teknologi komunikasi dan tenaga, iaitu Runjian Co. Ltd yang menyediakan kepakaran dalam rangkaian komunikasi kejuruteraan yang juga mengendalikan pusat data dan menawarkan perkhidmatan pengurusan rangkaian maklumat seperti kampus pintar, AI, data besar, awan dan aplikasi teknologi 5. Syarikat tersebut mempunyai cawangan di seluruh dunia termasuk di Jerman.
PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR DIGITAL
Nanning telah melabur secara besar-besaran dalam infrastruktur digital, termasuk rangkaian 5G, yang mempercepatkan penerapan teknologi canggih seperti komunikasi mudah alih generasi kelima dan teknologi bandar pintar. Bandar ini juga memperkenalkan pelbagai inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi digital dan perniagaan dalam talian.
BANDAR PINTAR
Pelbagai elemen bandar pintar yang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dalam pengurusan bandar melalui automasi dan teknologi digital. Ini termasuk sistem pengangkutan pintar yang memantau lalu lintas dan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih cekap. Kota Nanning mencatatkan kadar jenayah antara yang terendah kerana sistem pengawasan digital dan satelit membolehkan setiap pergerakan awam dipantau dan dapat dijadikan profil. Perkara ini membolehkan pelaku penjenayah dapat ditangkap dalam tempoh 15 minit kerana identiti sangat mudah dikenali melalui teknologi profil. Maka, ke mana-mana sahaja pelancong atau rakyat bergerak di kota dan wilayah tersebut berasa selamat dan sentiasa dilindungi. Mungkin kerajaan Sarawak boleh mengambil iktibar ini bagi menangani kes jenayah.
KURANG MESRA HIDROGEN
Nanning juga berusaha mempromosikan teknologi hijau dengan memperkenalkan tenaga boleh diperbaharui dan inisiatif lestari seperti tenaga suria dan tenaga angin, namun kurang mesra dengan tenaga hidrogen. Menurut ahli akademik di sana, hidrogen ketika ini dihasilkan melalui sumber gas alam, yang masih melepaskan karbon dioksida, atau melalui elektrolisis air, yang memerlukan tenaga elektrik dalam jumlah besar. Jika tenaga elektrik ini berasal dari sumber yang tidak diperbaharui maka hidrogen tidak sepenuhnya bersih. Proses elektrolisis yang lebih bersih memerlukan tenaga elektrik diperbaharui (seperti solar atau angin), yang menambah kos.
Hidrogen juga sangat mudah terbakar dan perlu disimpan dalam keadaan tekanan tinggi atau suhu sangat rendah. Hal ini menjadikan pengangkutan hidrogen lebih kompleks dan berbahaya dibandingkan sumber tenaga lain. Keperluan infrastruktur penyimpanan yang selamat menambah cabaran besar. Begitu juga untuk menyimpan, mengangkut, dan mengedarkan hidrogen memerlukan infrastruktur khusus, seperti tangki penyimpanan yang kuat dan sistem paip khusus. Kos untuk membangunkan infrastruktur ini sangat tinggi. Infrastruktur stesen pengisian hidrogen masih sangat terbatas di China berbanding dengan stesen pengecasan elektrik atau stesen minyak, pembangunan stesen pengisian hidrogen memerlukan pelaburan besar dan masa yang lama.
EV DIPERKASAKAN
Namun, dilihat lebih banyak melabur dalam infrastruktur sokongan untuk EV dengan membina stesen pengecasan di bandar dan lebuh raya. Stesen pengecasan pantas dan biasa telah dipasang di tempat awam seperti pusat beli-belah, pejabat dan kawasan perumahan, menjadikan penggunaan EV lebih praktikal dan menarik bagi penduduk.
Galakan penggunaan EV dalam pengangkutan awam seperti bas dan teksi elektrik untuk mengurangkan pelepasan karbon. Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kualiti udara tetapi juga menunjukkan manfaat EV kepada masyarakat, selaras dengan inisiatif China untuk memperluas penggunaan kenderaan tenaga baharu (NEV) dalam pengangkutan.
Di Kota Nanning semua kenderaan motosikal diwajibkan menggunakan EV sejak lebih 10 tahun dahulu dan ini membawa budaya teknologi dan mesra alam sekitar kepada penduduk. Kerajaan tempatan menawarkan pelbagai insentif untuk pembelian dan penggunaan EV, termasuk subsidi, pengecualian cukai, akses ke parkir khas dan pengecualian sekatan lalu lintas. Insentif ini menggalakkan lebih ramai penduduk Nanning untuk beralih kepada kenderaan elektrik.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif bandar pintar, Nanning mengintegrasikan EV ke dalam projek perumahan dan kampus pintar. Stesen pengecasan di kawasan perumahan dan tempat kerja memudahkan pemilik EV, sementara semakin ramai penduduk memilih EV untuk kegunaan peribadi kerana kos operasi rendah dan insentif kerajaan. Kota ini juga berusaha menjadi hab pengeluaran dan inovasi industri EV, menarik pelaburan dalam sektor ini termasuk pengeluar kenderaan dan pembekal komponen dan ini merangsang ekonomi tempatan dan mencipta peluang pekerjaan baru selain dapat mengurangkan pelepasan karbon dan pencemaran udara.
Dengan infrastruktur yang kukuh, sokongan kerajaan dan kesedaran yang meningkat, Nanning berada di landasan yang tepat untuk menjadi bandar mesra EV, hijau dan progresif di China.
- Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasidan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).