KUALA LUMPUR: Straits Inter Logistics Bhd (Straits) akan terus mengembangkan perniagaan dagangan minyak dan pengisian bahan api ke kapal dengan meningkatkan kapasiti tanan boleh laksana menerusi pembelian kapal baharu atau menyewa kapal pihak ketiga serta memperluas liputan operasi berdasarkan geografi.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Ho Kam Choy berkata strategi kumpulan untuk memperluas rangkaian produk melangkaui pengisian Minyak Gas Marin (MGO) kepada pasaran Minyak Bahan Api Marin (MFO) telah menarik sejumlah pelanggan baharu daripada kapal kontena antarabangsa dalam industri pengangkutan maritim.
“Ini telah membuka peluang perniagaan dan memperluas asas pasaran memandangkan saiz pasaran MFO pada umumnya jauh lebih besar daripada pasaran MGO,” katanya dalam Laporan Tahunan 2019 syarikat itu yang dikemukakan kepada Bursa Malaysia.
Ho berkata pemeteraian Perjanjian Perkhidmatan Pengisian Bahan Api kepada Kapal dengan Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd dan Bintulu Port Sdn Bhd telah membolehkan pihaknya mewujudkan asas dalam perniagaan tersebut di Lumut dan Bintulu seterusnya memperluas lagi jangkauan pasaran berkenaan di Malaysia.
Selain itu, pemeteraian Perjanjian Pengurusan Operasi dan Kemudahan dengan Lembaga Pelabuhan Labuan untuk Pelabuhan Labuan Liberty turut membolehkan syarikat memulakan perniagaan dalam sektor perkhidmatan operasi dan pengurusan pelabuhan, katanya.
“Berasaskan usaha baharu ini, syarikat giat mempelbagaikan perniagaan ke dalam perkhidmatan pengurusan pelabuhan dan diharapkan usaha niaga itu akan meningkatkan keuntungan dan perolehan syarikat pada masa depan.
“Walaupun banyak perkembangan positif yang dicapai, Straits juga menyedari cabaran perniagaan pada 2020 yang berpunca daripada kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19,” katanya.
Pandemik ini telah menyebabkan gangguan besar dalam rantaian nilai dan bekalan dunia selain memperlahankan pergerakan kapal di seluruh dunia.
Syarikat memberi perhatian kepada situasi itu dan mengambil beberapa langkah untuk memastikan perniagaan dijalankan pada tahap kompetitif di samping melaksanakan kawalan kos yang berkesan.
“Oleh kerana perniagaan syarikat adalah terutama dalam industri pengangkutan maritim defensif, kami mengekalkan unjuran stabil namun berhati-hati untuk perniagaan pada tahun ini,” katanya.
Straits merupakan antara pengendali bunker berlesen terbesar di Malaysia dan kini beroperasi di 14 pelabuhan di negara ini untuk sejumlah besar pelanggan dalam industri pengangkutan maritim serta minyak dan gas.- Bernama