

KUCHING: Stor yang dijadikan tempat tinggal musnah dalam kebakaran di Jalan Merdeka, Swee Joo Park, di sini, petang ini.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada 1.39 petang.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada 1.43 petang dan mendapati kebakaran melibatkan stor yang dijadikan rumah berkeluasan kira-kira 10×12 kaki.
“Kebakaran memusnahkan keseluruhan bangunan tersebut dan anggota bomba segera menjalankan kerja pemadaman sehingga api berjaya dikawal,” kata Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Rahman Abang Deni dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kebakaran itu tidak melibatkan sebarang mangsa.
Anggota bomba kemudian menjalankan pemeriksaan di lokasi bagi memastikan api telah dipadam sepenuhnya dan keadaan selamat.
Operasi ditamatkan pada 2.30 petang selepas keadaan terkawal.