KUCHING: Perbadanan Pembangunan Industri Kayu Sarawak (STIDC) dicadangkan untuk bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bagi memanfaatkan peruntukan yang diperoleh MTIB khususnya dalam pembangunan ladang hutan dan reka bentuk perabot.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin baru-baru ini berkata, MTIB yang merupakan salah sebuah agensi di bawah kementerian itu sedang menjalankan Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) sehingga 2025 menerusi peruntukan yang diperoleh berjumlah RM500 juta.
“Bagi tahun 2020, sebanyak RM50 juta telah diperuntukkan untuk melaksanakan program ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan Pengurus Besar STIDC, Hashim Bojet dan Pegawai Khas STIDC, Dayang Nena Abang Bruce di Wisma Sumber Alam, Petra Jaya, dekat sini.
Menurutnya, sebanyak RM50 juta lagi diperuntukkan kepada MTIB tahun ini untuk melaksanakan program ‘Community Farming’ melibatkan golongan B40 dengan keluasan kawasan tanaman tidak melebihi empat hektar dan telahpun dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.
“Program ini adalah termasuk untuk anak benih dan baja dengan jumlah tetap bantuan ialah RM1,500 sehektar dan bantuan yang diberikan adalah dalam bentuk insentif dan bukannya dalam bentuk pinjaman,” katanya.
Willie berkata beliau turut tertarik dengan program pereka Sarawak, Sarawak Designers Programme anjuran STIDC yang berkolaborasi dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Bandong di Indonesia bagi membangunkan reka bentuk baharu perabot berasaskan kayu.
Menurutnya, MTIB juga mempunyai program yang sama dikenali sebagai “Tanggam” dan kerjasama dapat diwujudkan untuk mengumpul pereka bentuk bagi pengeluaran perabot tempatan.
“Saya nampak potensi industri hiliran iaitu pengeluaran perabot sangat besar apabila eksport perabot negara tahun lepas bernilai RM1 bilion tetapi eksport perabot dari Sarawak hanya RM47 juta iaitu kurang daripada satu peratus,” katanya.- Bernama