MUKAH: Stesen minyak yang bersistemkan kontena (PCS) akan dibangunkan di Daerah Mukah dalam masa terdekat ini.
Ia berikutan kelulusan pinjaman bank oleh sebuah koperasi tempatan iaitu Koperasi Desa Kampung Tellian Tengah dan Ulu Muka Berhad (KODELT).
Berita baik itu diumumkan pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-6 KODELT yang telah diadakan di Dewan Suarah Mesra Mukah pada Sabtu lalu.
Menurut setiausahanya, Jetzson Jacob Lema Nawis, KODELT telah menerima pinjaman sebesar RM300,000 dari Bank Rakyat untuk projek itu.
“Pinjaman tersebut adalah ditawarkan oleh Bank Rakyat di Kuala Lumpur, dan KODELT telah mengambil peluang itu untuk memohon dana bagi kegunaan untuk melaksanakan projek PCS ini. Projek yang kita rancang ini menelan kos kira-kira RM700,000,” ujarnya.
Sebelum itu, ahli lembaga KODELT, Ajahar Bakar, menyentuh mengenai projek berkenaan dalam laporan tahunan bagi Tahun 2019 hingga 2020 dan kini status pelaksanaan adalah 60 peratus.
Adalah difahamkan projek PCS adalah dilaksanakan berdasarkan ‘kerjasama (joint-venture) dengan Buraq Oil.
Pihak KODELT dikatakan kini sedang memuktamadkan tapak, sama ada di sekitar kawasan Badengan dan Temesu di Jalan Mukah-Selangau atau Matading dan Penipah di Jalan Mukah-Balingian.
Oleh Henry B Siyu