SERIAN: Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD), Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Projek Perikanan Darat Ternakan Ikan Tilapia Merah yang diusahakan oleh Syarikat Sarafish Sdn Bhd di Kampung Cina Buntak, Bedup, di sini, semalam.
Menurutnya, lawatan ini bertujuan meninjau penggunaan teknologi moden yang diaplikasikan di ladang tersebut dalam usaha meningkatkan hasil dan kecekapan operasi.
“Projek akuakultur air tawar tersebut terletak kira-kira 65 kilometer dari pusat bandaraya Kuching dan merupakan antara inisiatif penting dalam memperkukuhkan industri perikanan darat di wilayah ini.
“Selain daripada penternakan ikan, syarikat tersebut turut menjalankan perniagaan penyimpanan sejuk yang menyokong sistem pengedaran produk mereka secara cekap.
“Difahamkan, Sarafish Sdn Bhd yang mengendalikan projek ini dikenali sebagai pakar dalam penternakan ikan tilapia dengan sasaran pengeluaran tahunan sebanyak 100 tan,” katanya.
Turut serta dalam lawatan ialah Timbalan Menteri M-FICORD Datuk Martin Ben, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Pegawai Pertanian Bahagian Serian Willie Peter serta pegawai-pegawai kementerian dan agensi berkaitan.
Lawatan ini, katanya lagi, mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam menyokong pembangunan industri akuakultur secara mampan dan berteknologi tinggi demi menjamin sekuriti makanan dan ekonomi luar bandar di Sarawak.