KUCHING: Para pelajar di luar bandar akan berpeluang belajar melalui Program Sains, Matematik, Teknologi, Matematik (STEM) Playground Virtual 2020 yang menjadi platform anjakan paradigma yang baharu bagi kanak-kanak bermain sambil belajar secara jelajah virtual.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan pihak Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) akan menghantar pemacu pena komponen program itu ke semua sekolah di luar bandar.
“Semua aktiviti yang ada di dalam program ini boleh dilayari oleh para pelajar di luar bandar secara ‘offline’ melalui ‘pendrive’ yang dibekalkan bagi mereka yang masih belum ada akses internet yang kuat.
“Kesemuanya ini dibuat dalam format 360 darjah yang memberikan gambaran seolah-olah sedang berada di tempat program itu dianjurkan,” katanya.
Abang Johari berkata demikian pada Majlis Pelancaran STEM Playground Virtual Fair 2020 di sini, semalam.
Beliau mengakui program berkenaan akan memberi manfaat kepada golongan sasar memandangkan kanak- kanak pada masa ini ramai yang bermain mengunakan gajet seperti telefon dan komputer.
“Kalau di sekolah mereka mungkin hanya dibekalkan fakta dalam buku namun mereka sukar untuk memahami sepenuhnya fakta tersebut,
“Namun, apabila ia dalam bentuk permainan maka ia secara tidak langsung menjadikan mereka lebih faham dan lebih minat dalam Pendidikan STEM,” ujarnya.
Abang Johari berkata, apabila minat pelajar mula meningkat maka ia secara tidak langsung akan meningkatkan tahap motivasi kognitif, mengingat fakta, meningkatkan tahap kepantasan pemikiran, fokus dan berupaya meningkatkan pencapaian mereka.
“Saya difahamkan program ini merupakan program pendidikan STEM Virtual yang pertama dan terbesar pernah diadakan secara atas talian atau secara virtual di Sarawak khususnya dan Malaysia amnya,“Ini amat membanggakan kita sebagai rakyat Sarawak kerana kita sudah berada selangkah di hadapan dalam kita hendak mencapai status negeri termaju melalui strategi Ekonomi Digital,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Abang Johari berharap setelah Digital Village di Samajaya yang dijangka siap pada Disember ini, Sarawak berupaya meningkatkan lagi usaha untuk mengangkat bakat dan kejayaan belia-belia usahawan digital di negeri ini sehingga menjadi ‘Ikon’ di peringkat global.
Pada masa sama, kata beliau lagi, hasrat itu secara tidak langsung meningkatkan peluang pekerjaan dan ekonomi negeri Sarawak.
Oleh Diyana Samsuddin