BINTANGOR: Kelulusan Sijil Kelahiran Taraf Warganegara Malaysia kepada kanak-kanak yang dikenali sebagai Ain Suqurim membuka lembaran baharu untuk meneruskan pendidikan dengan lebih lancar dan membina masa depan lebih baik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, perkembangan itu amat bermakna bukan sahaja kepada Ain Suqurim, malah keluarganya terutama dalam memastikan urusan berkaitan pendidikan dapat diteruskan tanpa halangan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ain Suqurim dan keluarga atas kelulusan sijil kelahiran berstatus warganegara Malaysia tersebut.
“Saya berharap dengan adanya Sijil Kelahiran Taraf Warganegara Malaysia ini, Ain Suqurim dapat meneruskan pendidikan tanpa halangan serta memperoleh peluang yang lebih baik untuk mencapai cita-citanya pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui media, semalam.
Katanya, pendidikan merupakan antara perkara penting dalam menentukan masa depan seseorang, justeru peluang untuk mendapatkan akses sewajarnya perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Saya juga berharap Ain Suqurim akan terus berusaha dalam pelajaran, membesar dengan sihat dan menjadi insan yang berjaya serta dapat menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kebajikan dan masa depan generasi muda sentiasa menjadi antara perkara yang diberikan perhatian, khususnya dalam memastikan kanak-kanak memperoleh peluang pendidikan dan kehidupan yang sewajarnya.
“Peluang pendidikan yang baik penting bagi membolehkan generasi muda mengembangkan potensi diri, mengejar cita-cita dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan masyarakat apabila dewasa kelak.
“Tahniah sekali lagi kepada Ain Suqurim dan keluarga atas berita yang menggembirakan ini.
“Semoga kejayaan ini menjadi permulaan kepada perjalanan masa depan yang lebih cerah dan penuh kejayaan,” katanya.
Oleh Earl Anek




