KUCHING: Status Sarawak dan Sabah sebagai wilayah dalam Malaysia masih belum diwartakan, dan isu ini hanya akan dibincangkan pada mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara Kerajaan Persekutuan serta Sarawak yang dijadualkan Khamis ini, 19 Januari.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari berkata Sarawak dan Sabah sememangnya diiktiraf sebagai wilayah ketika pembentukan Malaysia pada 1963.
“Dari mula lagi memang kita (Sarawak dan Sabah) sepatutnya (diiktiraf sebagai) wilayah, namun keadaan sudah berubah (dalam tempoh) 60 tahun.
“Sebab itu kita meminda Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Sebab itu jawatan Ketua Menteri ditukar kepada Premier,” katanya kepada pemberita selepas Program Hari Bebas Kereta, anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Padang Merdeka, di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, Abang Johari berkata status wilayah termaktub dalam MA63 dan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) ketika pembentukan Malaysia.
Di Kuala Lumpur kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia bukan lagi berstatus negeri, sebaliknya wilayah.
Menurut Zahid, pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur menjadikan kedudukan Sarawak dan Sabah menjadi lebih strategik untuk dibangunkan sebagai kawasan pertumbuhan baharu.
Katanya, sejak 60 tahun lalu, Sabah dan Sarawak banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia dan kini adalah masa terbaik untuk sama-sama memajukan dua wilayah itu seiring perkembangan di keseluruhan kepulauan Borneo termasuk Kalimantan, Indonesia.
Sehubungan itu, beliau yang juga menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilaksanakan segera.
Oleh RYNNA SHA’ERRA
Foto ANDRE OLIVEIRO.