KUCHING: Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA) kecewa dan marah terhadap dakwaan tidak berasas dalam laporan Human Rights Watch dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tempatan.
Menurut laporan tersebut, industri perkayuan di Sarawak didakwa menjadi punca kemusnahan berjuta hektar hutan hujan purba untuk penanaman kelapa sawit dan pembalakan yang dikatakan mengakibatkan kemusnahan hutan serta pencabulan hak masyarakat pribumi.
Ketua Pegawai Eksekutif STA, Annie Ting berkata, tuduhan tersebut sebagai cubaan yang jelas untuk mencemarkan reputasi industri yang telah banyak melaksanakan pengurusan hutan mampan (SFM).
“Komitmen Sarawak terhadap SFM terbukti melalui dasar ketat, usaha pemuliharaan dan inisiatif penglibatan komuniti yang dilaksanakan dengan kerjasama badan antarabangsa seperti Pertubuhan Kayu Tropika Antarabangsa (ITTO).
“Industri ini juga mengamalkan kaedah pembalakan bertanggungjawab, melabur dalam teknologi mampan, serta telah memperoleh beberapa pensijilan unit pengurusan hutan mengikut standard antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa STA sentiasa mengamalkan pendekatan telus dan menerima penglibatan NGO sebagai pemerhati ketiga bagi memantau kesejahteraan industri.
“Mengapa tiba-tiba NGO menggesa agar industri kayu kayan Sarawak diklasifikasikan sebagai ‘berisiko tinggi’ hanya disebabkan satu insiden terpencil?
“Adakah mereka telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan Sarawak dan STA bagi mengesahkan dakwaan ini?” katanya.
Annie berkata STA menyeru pihak Kesatuan Eropah (EU) untuk menyiasat secara menyeluruh dakwaan tersebut dengan melibatkan semua pihak berkepentingan.
“Keputusan yang adil dan seimbang harus dibuat berdasarkan kajian menyeluruh, bukan hanya disebabkan tuduhan tidak berasas yang boleh menjejaskan industri ini dan kehidupan ribuan rakyat yang bergantung kepadanya.
“Industri kayu kayan Sarawak bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi negara, malah turut menyediakan peluang pekerjaan kepada ribuan orang.
“Mengecam keseluruhan industri sebagai berisiko tinggi berasaskan tuduhan tanpa asas bukan sahaja tidak adil, malah akan membawa kesan buruk yang besar kepada Sarawak dan kehidupan rakyatnya. Adakah ini yang diingini oleh NGO?,” katanya.