SIMANGGANG: Sri Aman terus dikecapi pembangunan infrastruktur apabila projek yang diluluskan Kerajaan Sarawak terus dilaksanakan sama ada dalam peringkat pembinaan atau sudah siap sepenuhnya, ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis.
Pada masa sama, Harden turut mengecam tindakan segelintir pihak yang gemar menafikan ketiadaan projek pembangunan di kawasan Sri Aman melalui media sosial boleh mengundang padah terhadap diri mereka sendiri.
Ini kerana perbuatan berkenaan boleh mengundang persepsi bahawa mereka adalah jahil dalam menilai pembangunan yang berlaku dan tidak peka dengan perkembangan sekeliling pada waktu sekarang.
“Saya menasihatkan pihak berkenaan agar tidak mengutarakan isu pembangunan di Sri Aman secara sesuka hati yang boleh mencemar reputasi dan peribadi diri mereka sendiri di hadapan rakyat.
“Berhenti mendakwa tiada pembangunan di Sri Aman kerana rakyat tahu ia adalah tidak benar dan perlu dihentikan demi maruah diri sendiri,” kata Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis.
Sementara itu, beliau ketika meninjau tapak projek kemudahan fizikal di bandar ini mengajak rakyat untuk sama-sama memahami erti sambutan Bulan Kebangsaan 2021 dalam suasana norma baharu.
“Saya mengajak rakyat Sri Aman agar bersikap lebih patriotik dalam membantu kerajaan melandaikan lekuk kes jangkitan Covid-19 yang sedang melanda negara khususnya negeri kita.
“Salah satu langkah patriotik ini adalah dengan sentiasa mematuhi garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 demi menyelamat negara daripada krisis penularan pandemik Covid-19 yang masih meruncing pada masa sekarang,” kata beliau.
Terdahulu, Harden bersama rombongan telah memantau tapak Projek Menaik Taraf Saliran Sungai Bakir dan pembinaan parit konkrit bertutup termasuk pembetung di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Aing di sini.
Sekitar RM1.1 juta diperuntukkan bagi melaksana projek berkenaan yang melibatkan parit sepanjang 113 meter dan parit terbuka sepanjang 34 meter yang dijangka siap pada 23 Januari tahun hadapan.
Oleh VALENTINE NGUMBANG