KUCHING: Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) akan memulakan panggilan geran tematik yang memfokuskan kepada penyelidikan dan pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ia akan memberi penekanan kepada pengeluaran dan penyimpanan hidrogen.
”Salah satu cabaran utama ekonomi hidrogen kita ialah mengurangkan kos pengeluaran yang agak tinggi.
”Bagi menangani perkara ini, saya berbesar hati untuk mengumumkan inisiatif ini.
”Inisiatif ini bukan sahaja satu langkah ke arah mengurangkan kos pengeluaran hidrogen malah mencerminkan komitmen Sarawak untuk memanfaatkan pengetahuan dan sumber tempatan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada Simposium Penyelidikan SRDC di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari lagi, dengan melabur dalam pengeluaran dan infrastruktur hidrogen, Sarawak bukan sahaja menangani keperluan tenaga tempatan malah mewujudkan peluang ekonomi baharu.
Katanya, Sarawak kini sedang muncul sebagai mercu tanda inovasi tenaga boleh diperbaharui serta memanfaatkan sumber aslinya yang banyak untuk memacu pembangunan mampan.
“Selain tenaga hidro, Sarawak juga mempelopori ekonomi hidrogen, meletakkan kita di barisan hadapan peralihan kepada masa depan rendah karbon.
”Komitmen terhadap ekonomi hidrogen ini menekankan peranan Sarawak sebagai peneraju dalam inovasi tenaga boleh diperbaharui dan sumbangannya kepada matlamat kemampanan global,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA