BINTULU: Sekolah Rendah (SR) Integrasi Al-Amin Bintulu menerima sumbangan hartanah dan bangunan bernilai lebih RM2 juta daripada tokoh korporat, Datuk Pengiran Daud Pengiran Putera, sebagai wakaf pendidikan.
Menurut Pengiran Daud yang juga penasihat sekolah berkenaan, wakaf itu bertujuan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif bagi anak-anak di peringkat awal pendidikan agama di Bintulu.
Beliau memberitahu, bangunan tersebut akan diuruskan pihak sekolah bagi memastikan ia terus berfungsi sebagai pusat pendidikan yang bermanfaat kepada masyarakat setempat.
“Sekolah ini bermula dengan sebuah rumah yang serba kekurangan dan kini telah menjadi pusat pengajian Al-Quran yang berjaya melahirkan ramai ustaz dari Bintulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Sanjungan Budi Al-Amin dan Penyerahan Wakaf Pendidikan di Kemena Land District di sini, semalam.
Dalam ucapannya, Pengiran Daud turut berkongsi bahawa kejayaan sekolah tersebur adalah hasil usaha gigih individu seperti arwah Ustaz Ali Fathullah Harun, Mudir Madrasah Al-Quran, yang memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan agama di Bintulu.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola SR Integrasi Al-Amin Bintulu, Ustaz Salleh Morshidi menzahirkan ucapan terima kasih rasa syukur atas sumbangan tersebut.
Katanya, sekolah itu pernah beroperasi di Kampung Baru dengan hanya 10 murid sebelum menyewa bangunan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu (LAKIB) selama tujuh tahun.
“Namun, cabaran ini tidak mematahkan semangat kami untuk terus mencari tempat yang lebih baik demi pendidikan anak-anak,” katanya
Guru Besar sekolah tersebut, Ustaz Ahmad Ali Fathullah pula mengingatkan tentang pentingnya sokongan masyarakat dan ibu bapa.
Berpegang kepada nasihat arwah ayahandanya, beliau menekankan perlunya kerjasama bagi melahirkan generasi muda berakhlak mulia.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Samri Suhaili; tokoh korporat Datuk Abdul Kadier Sahib; Pemanca Pengiran Merais Pengiran Ismail, dan Pengerusi Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Bintulu, Abang Arshad Abang Anuar.
Oleh Carolyne Utih