KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memikirkan kaedah jangka panjang, bagi membolehkan pengundian dalam talian untuk proses mengundi pada pilihan raya terutama di negeri ini.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata zaman sekarang adalah era digital dan SPR harus mewujudkan alternatif untuk mengundi secara digital.
“Jika kita boleh mempercayai sistem perbankan dalam talian, kenapa SPR tidak boleh mempercayai dan mencipta sistem sedemikian untuk digunakan untuk mengundi?
“Itulah jalan ke hadapan. SPR jangan tidur. SPR perlu melihat (alternatif) lebih ke hadapan yang boleh mewujudkan sistem pilihan raya yang lebih baik,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata demikian selepas majlis perasmian Malaysia Inbound Chinese Association (MICA) Foliday di sini, semalam.
Abdul Karim diminta mengulas hasrat kerajaan Sarawak untuk memberi subsidi tambang bagi membolehkan pelajar negeri ini yang menuntut di Semenanjung pulang mengundi apatah lagi kini mereka berusia 18 hingga 21 tahun sudah layak mengundi buat kali pertama.
Beliau berkata sekiranya kaedah mengundi dapat dilaksanakan secara dalam talian, ia akan mewujudkan sistem pilihan raya yang lebih baik.
Bagaimanapun katanya, sistem mengundi dalam talian tidak dapat dilaksanakan untuk pilihan raya umum ke-15 dan ia lebih kepada usaha jangka panjang jika SPR memilih untuk berbuat demikian.
Menjelaskan lebih lanjut usaha memberi subsidi kos penerbangan untuk pelajar, beliau berkata perkara itu perlu diteliti lagi.
“Ini kerana pemberian subsidi kepada mereka untuk balik adalah satu kesalahan (di bawah akta) pilihan raya. Walaupun kita tidak tahu siapa yang akan mereka undi, tindakan membiayai tiket penerbangan balik mereka boleh dilihat sebagai satu kesalahan pilihan raya.
“Jadi kita kena kaji perkara tersebut secara mendalam. Saya pasti Premier Sarawak suka untuk melihat mereka balik bagi mengundi tetapi jika mereka melihatnya sebagai satu kesalahan, kita kena teliti betul-betul kerana kita tidak mahu melakukan apa-apa kesalahan ketika pilihan raya,” katanya.
Ketika Program Lan Berambeh di Kuala Lumpur malam kelmarin, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pihaknya akan mempertimbangkan pemberian subsidi kepada anak Sarawak untuk pulang mengundi pada PRU-15 nanti.
Oleh RYNNA SHA’ERRA