LAWAS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dicadang supaya melihat semula beberapa kawasan di pusat mengundi yang perlu ditambah atau berada dilokasi selamat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan melahirkan kerisauan melihat kepada keadaan cuaca yang tidak menentu dan boleh menjejaskan proses demokrasi pilihan raya.
“Kita harap SPR dapat menambah jumlah pusat mengundi di kawasan seperti Ba’kelalan kerana ini mampu mempercepatkan proses mengundi,” katanya selepas mengundi di SK Seberang Kampung Dato Kuala Lawas hari ini.
Tengah hari semalam, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata pusat mengundi di beberapa kawasan yang dilanda banjir di utara Sarawak, terpaksa ditukar ke lokasi lain.
Ini bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), hari ini berikutan masalah banjir dan kabus tebal.
Awang Tengah turut berharap jumlah peratus mereka yang turun mengundiu bagi kawasan Dewan Undangan Bukit Sari akan bertambah meningkat pada sebelah petang.
Beliau bersyukur proses pengundian di Lawas berjalan lancar, semua pihak telah menjalankan tugas masing-masing dengan baik dan komited.
“Pada kali ini keadaan berbeza dengan keadaan semasa pandemik Covid-19, ramai yang datang untukj mengundi kerana sempadan pun telah dibuka.
“Saya juga berkesempatan bertemu dengan ramai kawan yang telah lama tidak berjumpa dan PRU ini juga menjadi ruang untuk kita mengukuhkan perhubungan setelah lama tidak berjumpa,” katanya.
Oleh ADENG EDRUS