Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Spesies bakteria baharu ditemui di Jawa Barat
  • GLOBAL

Spesies bakteria baharu ditemui di Jawa Barat

Utusan Sarawak 3 hours ago
Spesies bakteria baharu tahan suhu ekstrem ditemui di kawasan geoterma Jawa Barat.

JAKARTA: Spesies bakteria termofilik baharu yang mampu bertahan pada suhu menghampiri takat didih air ditemui di kawasan geiser Cisolok di Sukabumi, Jawa Barat, dengan potensi aplikasi dalam bioteknologi, industri dan penjagaan kesihatan.

Universiti Indonesia (UI) menyatakan mikroorganisma itu, dinamakan Thermus javaensis sp nov, ditemui daripada sampah daun di sekitar tapak geoterma di mana suhu boleh mencapai hampir 100 darjah Celsius.

Menurut UI, bakteria tersebut dijumpai pasukan penyelidik daripada Fakulti Matematik dan Sains Semula Jadi universiti tersebut yang diketuai Prof Wellyzar Sjamsuridza bersama Dr Fitria Ningsih, Dr Mazytha K Rachmania dan Dhian Chitra Ayu Fitria Sari.

“Penemuan Thermus javaensis menunjukkan bahawa ekosistem geoterma Indonesia ialah kawasan panas biodiversiti dengan kepelbagaian mikrob yang luas yang masih belum diterokai sepenuhnya secara saintifik,” kata Prof Wellyzar dalam kenyataan pada Selasa.

Universiti itu memaklumkan penemuan Thermus javaensis sp nov, yang diterbitkan dalam International Journal of Systematic and Evolutionary Microbiology, menandakan spesies Thermus pertama yang dikenal pasti daripada kawasan geoterma Indonesia, dengan nama “javaensis” sempena Pulau Jawa, tempat bakteria itu ditemui.

Menurut institusi itu, bakteria berbentuk batang berpigmen kuning boleh hidup pada suhu antara 45 dan 80 darjah Celsius, dengan julat optimum 60 hingga 65 darjah Celsius, dan mempunyai struktur sfera yang jarang dijumpai dikenali sebagai jasad bulat (rotund bodies).

UI menyatakan penerokaan mikroorganisma di kawasan geoterma berkenaan bermula pada 2012, manakala sampel untuk spesies itu dikumpulkan pada 2015.

Penyelidikan itu turut melibatkan rakan kerjasama daripada RIKEN, sebuah institut penyelidikan saintifik Jepun dan Institut Penyelidikan Biosains dan Bioteknologi Korea.

Menurut universiti berkenaan, analisis genom menunjukkan bakteria itu mungkin mampu menghasilkan enzim termostabil yang sesuai untuk proses perindustrian suhu tinggi.

Penyelidik juga menemui tanda-tanda sebatian bioaktif yang berpotensi untuk dibangunkan bagi aplikasi antibakteria, antikulat dan antiradang, menurut kenyataan itu.

 “Penemuan ini membuka peluang untuk pembangunan selanjutnya dalam bioteknologi, khususnya mikroorganisma termofilik yang berpotensi menjana aplikasi perindustrian bernilai tinggi,” kata Prof Wellyzar.- Bernama

Continue Reading

Previous: Dua kebakaran hutan besar melanda California
Next: Kabinet Thailand batal program kemasukan tanpa visa 60 hari

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.