Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • SpaceX tangguh pelancaran roket mega Starship
  • GLOBAL

SpaceX tangguh pelancaran roket mega Starship

Utusan Sarawak 3 hours ago
ROKET baharu Starship V3 milik SpaceX dilihat berada di tapak Starbase semasa penerbangan ujian ke-12 pada 21 Mei 2026, seperti dilihat dari South Padre Island di Texas. Foto AFP

SOUTH PADRE ISLAND: Elon Musk menerusi SpaceX menangguhkan pelancaran roket mega Starship yang dinaik taraf dan dinanti-nantikan selepas ujian pada Khamis dibatalkan susulan beberapa kali kira detik dihentikan serta dimulakan semula.

Syarikat itu kini menyasarkan Jumaat untuk satu lagi percubaan pelancaran generasi ketiga roket gergasinya, kata jurucakap syarikat, Dan Huot, dalam siaran langsung pelancaran.

Misi percubaan itu berlangsung dalam keadaan penuh tekanan bagi syarikat angkasa lepas tersebut yang sedang merancang tawaran awam permulaan (IPO) berskala besar.

Selepas beberapa kali kira detik dihentikan dan dimulakan semula, Huot berkata jurutera tidak sempat menyelesaikan masalah teknikal pada saat akhir bagi meneruskan pelancaran pada Khamis.

KETUA Pegawai Eksekutif SpaceX, Tesla dan X, Elon Musk. Foto AFP

Musk segera memuat naik hantaran di X bahawa “pin hidraulik yang memegang lengan menara pada kedudukannya gagal ditarik balik”.

“Jika ia dapat dibaiki malam ini,” syarikat akan membuat satu lagi percubaan pada 5.30 petang waktu tempatan (2230 GMT) pada Jumaat, tambah tokoh teknologi itu.

Percubaan yang gagal di tapak pelancaran di selatan Texas itu berlaku sehari selepas SpaceX memfailkan dokumen kepada pengawal selia kewangan Amerika Syarikat untuk disenaraikan secara awam, berkemungkinan pada Jun, dalam apa yang dijangka menjadi IPO terbesar dalam sejarah.

Pemfailan IPO itu memberikan pelabur berpotensi maklumat kewangan terperinci, faktor risiko serta strategi perniagaan syarikat.

Pelancaran itu akan memberikan gambaran secara siaran langsung mengenai kemajuan SpaceX dalam membangunkan roket gergasi Starship, komponen utama dalam rancangan bercita-cita tinggi syarikat itu sendiri serta program agensi angkasa Amerika Syarikat, NASA, untuk kembali ke Bulan.

Ia akan menjadi penerbangan ke-12 Starship, namun yang pertama dalam tempoh tujuh bulan.

Reka bentuk terbaharu itu lebih besar berbanding versi terdahulu, dengan ketinggian lebih 407 kaki (124 meter) apabila dipasang sepenuhnya.

Syarikat yang menyasarkan Starship menjadi sistem boleh guna semula sepenuhnya berkata matlamat utama misi itu adalah untuk menunjukkan penambahbaikan reka bentuk semasa penerbangan.

Penggalak yang dikenali sebagai “Super Heavy” dirancang mendarat di laut berhampiran pesisir pantai.

Peringkat atas roket pula dijadual melepaskan muatan 20 satelit olok-olok serta dua “satelit Starlink yang diubah suai khas” yang dilengkapi kamera untuk menganalisis pelindung haba kapal angkasa itu.

Misi ujian itu dijangka berlangsung kira-kira 65 minit selepas pelancaran, ketika peringkat atas bergerak dalam trajektori suborbital sebelum akhirnya mendarat di Lautan Hindi, jika semuanya berjalan lancar.

Misi terbaharu Starship sebelum ini dianggap berjaya.

Namun, beberapa ujian terdahulu berakhir dengan letupan dramatik, termasuk dua kali di kawasan Caribbean dan sekali selepas berjaya sampai ke angkasa lepas. Jun lalu, peringkat atas roket itu meletup dalam ujian di darat. – AFP

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Dua lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Makkah
Next: Rondaan keselamatan Makkah tahan empat individu promosi perkhidmatan haji palsu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.