KUCHING: Persatuan Pemilik-Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA) menyampaikan sumbangan berjumlah RM500,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam usaha membantu mengekang penularan wabak Covid-19.
Pengerusi SOPPOA, Tiong Chiong Ong berkata sumbangan tersebut disampaikan sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan JPBNS yang bertungkus lumus memastikan orang ramai selamat dan terlindung daripada wabak Covid-19 sejak Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu sehingga sekarang.
“Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada usaha komuniti kami untuk melengkapkan petugas barisan hadapan dengan peralatan perlindungan diri (PPE) dan peralatan yang diperlukan untuk menyelamatkan pesakit Covid-19.
“Selain diharapkan ia dapat membantu keluarga yang sangat memerlukan makanan dan bantuan perubatan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam selepas menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi JPBNS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Ujarnya, SOPPOA akan terus mematuhi dan beroperasi berdasarkan langkah-langkah pencegahan yang disarankan kerajaan serta prosedur operasi standard (SOP) semasa beroperasi.
Sementara itu, mengenai situasi perladangan dan pertanian di Sarawak semasa tempoh PKP Pemulihan (PKPP), panduan langkah pencegahan dan SOP akan terus dipantau dan diamalkan oleh SOPPOA sehingga notis terbaru pengumuman daripada JPBNS.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Eksekutif SOPPOA, Andrew Cheng Mui Fah kepada Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri pada satu majlis ringkas di sini semalam.
Dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporat mereka juga, SOPPOA pada April lalu menyumbang RM20,000 kepada 3D Printers Union untuk menghasilkan peralatan perlindungan peribadi (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan di hospital kerajaan.
Oleh Zarina Abdullah