ATAS nama keprihatinan terhadap permintaan ramai,Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) membenarkan persembahan tarian singa pada sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) tahun ini.
Kebenaran diberikan untuk diadakan persembahan tarian singa selama empat hari pertama TBC dari 1 hingga 4 Februari, selain sehari lagi pada hari ke-15 yang dikenali sebagai Cap Goh Mei.
Prosedur Operasi Standard (SOP) yang pada peringkat awalnya memutus untuk tidak membenarkan tarian singa diadakan, terpaksa dikaji semula setelah mendengar pandangan pelbagai pihak yang mahukan persembahan yang merupakan sebahagian inti pati penting TBC.
Lagipun, apalah salahnya membenarkannya pada kali ini setelah tahun lepas ia langsung ditiadakan semasa kemuncak pandemik Covid-19.
Begitupun, demi menjaga keselamatan kesihatan, kebenaran itu berpandukan SOP yang telah ditetapkan dengan kolaboratif pihak Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR). Hanya dua kumpulan tarian singa sahaja dibenarkan membuat persembahan pada satu-satu masa, dan anggota rombongan kumpulan pula hanyalah terhad kepada 12
orang sahaja.
Satu lagi kelainan yang diberikan pada kebenaran itu adalah kali ini persembahan tarian singa itu hanyalah boleh dilakukan di luar premis, kediaman orang yang memintanya, atau di kawasan tokong sahaja.
Pihak yang memohon dan diberikan kebenaran untuk membuat persembahan tarian singa itu bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan tiada pelanggaran SOP berlaku, dan sekiranya terkesan gejala nanti, kumpulan terbabit
akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bersama-sama dengan mereka yang berada di tempat yang gejalanya dikesani.
Tolak ansur yang sedemikian memerlukan kerjasama semua pihak, iaitu pihak badan atau kumpulan yang memohon bersama-sama dengan pihak JPBN, UNIFOR dan orang awam.
Dalam kita menegakkan unsur budaya, adat dan tuntutan agama masing-masing, biarlah kita sama-sama menegakkan juga hak umum tentang penjagaan keselamatan dan kebajikan semua.
Yang kita semua inginkan adalah segala-galanya menjurus kepada keadaan tenang, semua pihak puas hati sambil pada masa yang sama keharmonian terpupuk rapi.