SIBU: Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tamin, Kaunselor Henry Kanyan Vincent Rawing menyokong untuk semua jawatan dalam Majlis Tertinggi PRS dipertandingkan pada persidangan perwakilan tiga tahun sekali (TDC) parti itu yang akan diadakan pada tahun ini.
Menurutnya, Presiden PRS, Datuk Joseph Salang Gandum ketika ditanya pemberita pada majlis perasmian PRS Cawangan Marudi di Miri pada 5 Januari lalu, memberitahu semua jawatan boleh dipertandingkan atau terbuka untuk dipertandingkan.
Katanya, ini telah membuktikan PRS adalah sebuah parti yang memiliki demokrasi yang sebenarnya kerana seorang pemimpin yang mempunyai nilai kepimpinan tinggi telah menyerahkan kepada ahli-ahli menentukan pemimpin masa hadapan untuk PRS.
“Perkara yang sama juga ada disebut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang yang menyambut baik semangat keterbukaan presiden parti itu.
“Saya mewakili pemuda (Pemuda PRS Bahagian Tamin) rasa terpanggil untuk menyokong kenyataan yang disebut oleh presiden parti dan YB Tamin untuk pemilihan dibuka kepada semua ahli dalam PRS,” katanya kepada pemberita.
Kaunselor Kanyan yang juga Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) berkata, ahli dalam PRS harus bersikap postif dan profesional selepas pemilihan tersebut demi untuk menggelakkan perpecahan dalam parti.
“Saya sangat percaya semua pimpinan parti mempunyai sikap profesional yang tinggi kerana mereka adalah pemimpin parti yang kita harapkan membawa parti jauh ke hadapan.
“Sebab itu mengadakan pemilihan parti dengan sikap profesional yang tinggi, jangan sesekali merobohkan sikap profesional kita dengan ideologi yang menghasut dalam parti,” tegasnya.
Katanya, PRS kini telah mencapai usia dewasa dan setiap ahli dalam parti harus bekerjasama menyokong dan berlapang dada kepada pemimpin-pemimpin yang bakal dipilih nanti.
“Jadikanlah pemilihan kali ini sebagai pemilihan yang memuaskan hati semua pihak dan memacu PRS ke arah wawasan baharu, kepimpinan baharu dan orang yang baharu memimpinnya mengekalkan tujuan asal parti untuk mempertahankan hak Sarawak,” katanya.
Untuk pemilihan TDC akan datang ini, katanya, semua cawangan dan bahagian PRS bersedia dengan apa saja keputusan diumumkan oleh presiden parti pada bila-bila masa.
“Mesyuarat majlis tertinggi yang mungkin diadakan pada hujung Januari ini diharap membincangkan untuk menubuhkan jawatankuasa pemilihan parti.
“Saya berharap Ahli Majlis Tertinggi PRS lebih profesional dalam memerhatikan keputusan yang akan dibuat terutamanya kita ingin memberi laluan kepada pemilihan ini berlaku dalam PRS.
“Jangan menghalang pemilihan dalam parti kerana presiden telah memberi restu, YB Tamin telah memberitahu menyokong usaha ini dan saya menyokong kenyataan Datuk Presiden dan YB Tamin.
“Biarkan para perwailan menentukan siapa yang memimpin parti ini pada tahun akan datang. Biarkan PRS terus menjadi parti yang relevan kepada rakyat Sarawak, parti ini memperjuangkan isu berkaitan dengan dayak,” tegasnya.
Oleh Akun Giman