PETRA JAYA: Jerebu rentas sempadan yang berulang setiap tahun bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan dan aktiviti harian rakyat, malah turut membawa kos kepada kerajaan dalam usaha menangani kesannya.
Dalam keadaan isu itu terus berlaku, persoalan sama ada tuntutan ganti rugi boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian turut mendapat perhatian.
Menjawab perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata tuntutan pampasan bukan satu bentuk pertanggungjawaban muktamad yang perlu ditanggung oleh mana-mana negara.
Sebaliknya, beliau berkata langkah pencegahan perlu dilakukan lebih awal bagi mengelakkan perkara yang menyentuh soal sensitif antara negara daripada berlaku.
“Kami yakin bahawa pencegahan adalah lebih baik dari merawat. Itu ertinya kita mengambil langkah-langkah awal untuk pencegahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pengurusan Bencana Negara Bilangan 1 Tahun 2026 di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, langkah proaktif perlu dilaksanakan oleh negara anggota ASEAN khususnya apabila melibatkan isu banjir, kebakaran dan jerebu dengan negara jiran.
“Pendekatan diplomatik juga perlu digerakkan selain usaha teknikal antara pegawai Malaysia dengan negara jiran bagi menangani isu berkenaan.
“Isu jerebu ini juga akan turut dibincangkan dalam lawatan kerja saya ke Indonesia esok (17 September), termasuk bersama Menteri Lingkungan Hidup Indonesia dan Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka,” jelasnya.
Sebelum itu, beliau berkata Malaysia belum menerima permintaan daripada Indonesia untuk menjalankan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di negara berkenaan.
“Bantuan kepada negara lain bergantung kepada permintaan dan kebenaran pihak berkuasa negara terbabit, manakala koordinasi jangka panjang berhubung perkara itu akan terus dilakukan.
“Perkara berkenaan turut dibincangkan dalam mesyuarat di Bali baru-baru ini, namun belum ada keputusan muktamad daripada pihak Indonesia dan tindakan susulan berhubung perkara itu akan diambil,” tambahnya.
Bagi jerebu rentas sempadan, jelasnya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) perlu bersedia dan menyelaras sekiranya terdapat permohonan daripada Kerajaan Indonesia.
“Ini termasuk keperluan OPA serta sokongan logistik bagi membantu menangani kebakaran hutan dan tanah gambut khususnya di Kalimantan.
“Bantuan itu bagaimanapun tertakluk kepada persetujuan pihak berkuasa Indonesia dan kesesuaian keadaan cuaca,” ujarnya.
Untuk rekod, kerajaan meluluskan RM5 juta bagi OPA dan pengurusan operasi berkaitan tahun ini, masing-masing RM2 juta pada 2 Jun dan RM3 juta pada 2 September, bagi menyokong tindakan awal menghadapi cuaca panas, kering dan jerebu.
Antara langkah yang dilaksanakan termasuk pemantauan titik panas, kesiapsiagaan aset pemadaman kebakaran, pengurusan tanah gambut, penguatkuasaan pembakaran terbuka serta kesiapsiagaan OPA berdasarkan ramalan cuaca dan penilaian risiko.
Oleh Masrin Affirah





