
KOTA SAMARAHAN: Pembangunan Pusat Komuniti Keperluan Khas (SNCC) di Samarahan akan menjadi pusat rujukan utama golongan berkeperluan khas di Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pusat berkenaan disifatkan sebagai antara fasiliti paling lengkap dan bersepadu dalam penyediaan perkhidmatan kepada golongan berkeperluan khas di negeri ini.
“SNCC direka sebagai pusat sehenti yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan merangkumi intervensi awal, latihan kemahiran, pembangunan vokasional serta penjagaan jangka panjang dalam satu kompleks.
“Pusat ini dibangunkan sebagai kemudahan sepanjang hayat untuk golongan berkeperluan khas, bermula dengan intervensi awal, diikuti latihan kemahiran dan vokasional, serta penjagaan bagi mereka yang memerlukan sokongan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat tapak projek SNCC di Pusat Pemulihan Orang Kurang Upaya (OKU) Samarahan, di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, SNCC tidak menawarkan pendidikan formal kerana aspek tersebut telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan, sebaliknya memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran hidup, latihan teknikal dan kebolehpasaran peserta.
“Antara program awal yang dirancang termasuk teknologi maklumat, jahitan, kulinari dan pastri serta seni dan kraf yang akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut tahap keupayaan individu,” ujarnya.
Tambah beliau, pusat berkenaan turut menyediakan kemudahan asrama bagi peserta dari luar kawasan Kuching dan Samarahan bagi memastikan akses lebih meluas kepada perkhidmatan yang ditawarkan.
Selain itu, SNCC juga akan dilengkapi kemudahan sukan asas bagi menyokong pembangunan atlet para di Sarawak, selain ruang latihan semula dan peningkatan kemahiran untuk membantu golongan berkeperluan khas berdikari dan meningkatkan kebolehpasaran mereka.
Secara keseluruhan, kompleks SNCC akan merangkumi blok pentadbiran, pusat intervensi awal lengkap dengan bilik terapi, bilik integrasi sensori dan kolam hidroterapi, bengkel latihan vokasional, asrama berkapasiti 64 pelatih serta dewan taklimat dan bengkel kerja terlindung.
Menurut beliau, proses tender projek dijangka dibuka pada Julai tahun ini sebelum penilaian dan pengeluaran surat setuju terima dibuat pada November.
Projek bernilai RM30 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) itu akan dibangunkan di tapak Pusat Pemulihan Samarahan dan dijangka mengambil masa kira-kira 20 bulan dengan sasaran siap pada Mei 2028.