Skuad catur Sarawak mahu tebus kecewa Sukma 2024

Facebook
WhatsApp
SEKITAR saingan pusingan pertama acara catur di Dewan Seri Bernam Sungai Besar, di Sabak Bernam, hari ini.

SELANGOR: Tujuh pemain daripada 10 anggota skuad catur Sarawak membuat penampilan sulung di Sukan Malaysia (Sukma) kali ini, namun jurulatih Muhammad Zulfaqar Abu Bakar tidak mahu pengalaman mereka menjadi penghalang dalam misi memburu pingat.

Sebaliknya, beliau berharap barisan pemain muda itu mampu membantu Sarawak menebus kekecewaan pada Sukma 2024 apabila kesemua tiga kategori yang disertai berakhir di tempat keempat.

MUHAMMAD Zulfaqar Abu Bakar.

Zulfaqar berkata sasaran awal Sarawak kekal untuk meraih pingat dalam kategori berpasukan, dengan enam pemain lelaki dan empat perempuan membentuk keseluruhan skuad kali ini.

“Yang kali pertama sertai Sukma ada tujuh atlet. Perempuan tiga dan lelaki empat.

“Memang lebih separuh pasukan ini pemain baharu, tetapi kita harap persediaan yang dibuat sebelum ini membolehkan mereka memberikan yang terbaik dan mudah-mudahan dapat pingat,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak ketika berlangsungnya pusingan pertama saingan catur Sukma 2026, di Dewan Seri Bernam Sungai Besar, di sini, hari ini.

Skuad Sarawak turut dibarisi pemain muda, dengan peserta termuda berusia 12 tahun dalam kategori perempuan, manakala pemain lelaki termuda berusia 14 tahun.

Menurut Zulfaqar, saingan kategori perempuan dijangka lebih mencabar berikutan penyertaan beberapa pemain yang mempunyai pengalaman mewakili Malaysia.

“Jadi perjalanan agak susah, tetapi kita sudah buat persediaan dan harap-harap berjaya,” katanya.

“Untuk perempuan, saingannya lebih susah sebenarnya sebab ramai pemain yang pernah mewakili Malaysia.

Zulfaqar yang membimbing skuad catur Sarawak sejak Sukma Sarawak 2024 berkata edisi kali ini turut membawa misi peribadi untuk memperbaiki pencapaian dua tahun lalu.

“Kali ini kita nak tebus kekecewaan yang lepas.

Pada Sukma 2024, katanya, Sarawak menamatkan saingan di tempat keempat dalam ketiga-tiga kategori yang disertai tanpa membawa pulang sebarang pingat.

“Sekurang-kurangnya tiga tempat keempat itu kita tukarkan kepada gangsa atau perak. Kalau ada rezeki lebih, insya-Allah emas,” katanya.

Dalam pada itu, Zulfaqar berkata kemudahan di dalam dewan secara keseluruhannya memadai, walaupun terdapat beberapa isu terutama membabitkan siaran permainan secara langsung dalam talian.

Katanya, masalah teknikal menyebabkan sesetengah permainan sukar dipantau menerusi siaran dalam talian apabila paparan permainan tersekat.

“Kalau dari segi siaran langsung, memang ada sedikit masalah sebab video permainan apabila disiarkan secara dalam talian kadang-kadang terganggu.

“Jadi jurulatih atau pengurus terpaksa masuk ke dalam untuk melihat permainan,” katanya.

SARINGAN pusingan pertama acara catur di Dewan Seri Bernam Sungai Besar, di Sabak Bernam, hari ini.

Saingan catur masih panjang selepas baru memasuki pusingan pertama, dan Zulfakar menegaskan masih terlalu awal untuk membuat penilaian terhadap peluang Sarawak.

Namun, dengan gabungan pemain berpengalaman dan tujuh muka baharu, beliau berharap skuad itu mampu memperbaiki pencapaian terdahulu dan akhirnya menukar kekecewaan tempat keempat kepada sekurang-kurangnya satu pingat

Oleh Shahrul Qaizat