MUKAH: SK Kampung Tellian yang siap pada Disember 2019 dijangka beroperasi penghujung tahun ini.
Menurut taklimat sempena lawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semalam, persiapan untuk kelengkapan seperti perabot dan sebagainya siap November ini.
Namun untuk beroperasi dikatakan tertakluk dengan keadaan semasa itu terutama sekali penyerahan projek kepada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Dengan kos hampir RM18 juta (RM17,791,436.97), projek 24 bulan itu mula dibina pada 26 Disember 2017 dan siap sepenuhnya pada 26 Disember 2019.
Dinamakan sebagai projek pembinaan gantian penuh ia merangkumi 24 bilik darjah dan lain-lain kemudahan dengan kapasiti maksima 800 murid.
Sekolah yang masih menumpang di SK Mukah yang berada kira-kira lima kilometer dari sekolah baharu itu kini mempunyai seramai 213 murid.
Pada lawatan tersebut, TYT diiringi Presiden Persekutuan Persatuan Melanau Sarawak, Tan Sri Dr. Muhammad Leo Toyad Abdullah.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Tellian merangkap Penaung PIBG SK Kpg Tellian, Yussibnosh Balo, Ahli Dewan Undangan Negeri Balingian, Abdul Yakub Arbi, Residen Bahagian Mukah, Hamdiah Bakir, Pegawai Pendidikan Daerah Mukah (PPD Mukah), Salemah Chali dan Guru Besar SK Kpg Tellian, Syazana Abdullah@Rupina Tambi.
Sejurus tiba di perkarangan sekolah, Tun Pehin Sri Taib dan rombongan disambut oleh tenaga pengajar SK Kpg Tellian dan penari tarian tradisional.
Sejarah sekolah juga diutarakan dalam taklimat ringkas yang disampaikan oleh seorang pegawai daripada PPD Mukah, Ramli Abus.
SK Kpg Telliah ditubuhkan dengan Sekolah St Michael pada 1945, dan diambil alih oleh Mukah Authority dan dinamakan SK Kampung Tellian pada 1952.
Bangunan pertama dibina di Kampung Tellian Ulu pada 1959, dan disusuli dengan pembinaan bangunan tiga bilik kelas di Kampung Tellian Tengah oleh Majlis Daerah Mukah pada 1964.
Selepas itu pada 1982-84, Kerajaan Malaysia membina bangunan dua tingkat di seberang jalan SK Kampung Tellian Baharu.
Namun pada 18 Mei 2004, bangunan dua tingkat itu diisytiharkan tidak selamat dan disyorkan untuk dikosongkan mengakibatkan SK Kpg Tellian ditempatkan sementara di SK Mukah sehingga sekarang atau kini sudah 16 tahun 3 bulan.
Justeru, warga sekolah dan penduduk tempatan amat mendambakan sekolah baharu dan penantian itu akan berakhir apabila ia beroperasi dalam masa yang terdekat atau selewatnya tahun hadapan.