SJKC Sze Lu lahir generasi cemerlang sepanjang 100 tahun

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato' Sri Huang Tiong Sii memotong kek sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-100 SJKC Sze Lu di Sarikei. Foto Pusat Khidmat Repok

SARIKEI: Seabad perjalanan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sze Lu bukan sekadar mencatat sejarah panjang dalam bidang Pendidikan, malah berjaya melahirkan generasi cemerlang yang kini menyumbang kepakaran dalam pelbagai sektor kepada negara.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pencapaian selama 100 tahun itu membuktikan peranan penting sekolah berkenaan dalam pembangunan pendidikan dan masyarakat setempat.

“Perjalanan SJKC Sze Lu selama 100 tahun berjaya melahirkan murid cemerlang yang kini berkhidmat dalam bidang pendidikan, perniagaan, perubatan dan perkhidmatan awam, selain menyumbang tenaga dan kepakaran kepada negara.

“Kejayaan sesebuah sekolah bukan hanya diukur berdasarkan tempoh kewujudannya, tetapi juga sumbangan generasi yang dilahirkan dan peranan institusi pendidikan itu dalam membangunkan masyarakat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-100 SJKC Sze Lu di sini, baru-baru ini.

DATO’ Dato’ Sri Huang Tiong Sii bergambar bersama warga SJKC Sze Lu sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-100 sekolah berkenaan di Sarikei. Foto Pusat Khidmat Repok

Katanya, kehadiran ramai tetamu pada sambutan bersejarah tersebut mencerminkan hubungan erat dan mendalam yang terjalin antara sekolah berkenaan dengan masyarakat sepanjang tempoh penubuhannya.

“Saya sentiasa mengutamakan pendidikan untuk semua rakyat di Sarikei tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang keluarga.

“Oleh itu, usaha mendapatkan peruntukan kerajaan bagi menambah baik kemudahan dan persekitaran pembelajaran di sekolah-sekolah sekitar Sarikei akan terus dilaksanakan,” katanya.

Tambahnya, usaha tersebut penting bagi memastikan setiap anak mendapat kemudahan pembelajaran yang lebih baik serta peluang yang sama untuk mengembangkan potensi dan mengejar impian masing-masing.

Dalam pada itu, Huang turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan beliau dalam membawa pembangunan pendidikan dan kebudayaan Sarawak ke tahap lebih tinggi.

Katanya, komitmen tersebut membantu memastikan anak-anak Sarawak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, persekitaran pembelajaran yang lebih baik dan peluang pembangunan yang lebih luas.

Sebagai tanda sokongan terhadap kesinambungan pendidikan di SJKC Sze Lu, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM20,000 sempena sambutan ulang tahun ke-100 sekolah berkenaan.

Oleh Earl Anek

MRA lancar tabung bantu mangsa banjir Nepal

KUALA LUMPUR: Malaysian Relief Agency (MRA) melancarkan Tabung Kemanusiaan Bencana Nepal, bagi menggerakkan bantuan kecemasan kepada masyarakat yang terjejas akibat